Reality in Real Life

Bukit Antarabangsa Runtuh – Ramai Maut, Cedera, Terperangkap

Note: Ramai yang bertanya , samada saya mempunyai foto-foto yang eksklusif, ngeri dan sebagainya berkaitan tragedi Bukit Antarabangsa ini.

Ingin saya maklumkan, bahawa saya tidak membuat liputan susulan selepas kejadian. Dalam kebanyakan kes/bencana, laporan susulan bukan lagi tugas saya kerana tugas saya seterusnya ialah ‘mencari’ berita lain pula, dan kemudian dibuat susulan oleh rakan setugas lain.

Tetapi laporan saya ialah lebih kepada rakaman paling awal ketika kejadian yang mungkin wartawan/jurufoto/jurukamera lain belum tiba di lokasi.

Gambaran awal kejadian boleh saya berikan, tetapi berita/cerita seterusnya, saya rasa tak mampu saya buat lagi kerana ia memerlukan pasukan yang amat besar seperti anda baca dalam akhbar-akhbar dengan berpuluh-puluh byline dalam sesuatu bencana berlaku.
Bukit Antarabangsa
6 Disember 2008
Sejak kejadian runtuhan tanah yang menimpa banglo milik seorang juruterbang dan mengorbankan 2 anaknya 30 November lalu di Ulu Yam, hati ini sentiasa tergerak untuk menyatakan, ia pasti akan berulang lagi.

Beberapa hari kemudian, 4 Disember, runtuhan di Jalan Semantan menjadi kenyataan. Dan lantas saya teringat kejadian pada tahun 2006 apabila seorang pegawai CIMB maut setelah keretanya terhumban dari tempat letak kereta di lokasi sama.

Dalam kedua-dua kes, saya merupakan antara wartawan terawal tiba di lokasi kejadian.

Bagaimanapun, hati ini sentiasa berdebar-debar apabila semakin kuat menyatakan sesuatu kejadian buruk akan berlaku di Bukit Antarabangsa.

Beberapa rakan penyelamat juga amat tidak senang apabila dua hari berturut-turut saya berkata supaya mereka bersiap sedia untuk runtuhan di Bukit Antarabangsa!!!

Ketika melalui MRR2 setiap hari, selalu terlihat kelibat Highland Towers dan Kondominium Puncak Athenium.

Kondomonium Puncak Anthenium pernah saya kunjungi beberapa tahun lalu ketika runtuhan berlaku betul-betul di tebing salah satu unit kondo terbabit.

Semua penghuni diarah mengosongkan kediaman mereka.

Akhirnya, kondominium itu tidak juga tumbang, bagaimanapun ia menjadi igauan buruk kepada penghuninya.

Dan kini, kondominium itu walaupun masih ada penghuni, tetapi jumlahnya sudah berkurangan, dan nilainya juga turun dengan begitu mendadak.

Dinihari 6 Disember 2008, saya sukar melelapkan mata.

Jam menunjukkan 3 pagi dan akhirnya mata saya terlelap juga.

Kira-kira jam 4-15 pagi, telefon bimbit saya berdering bertalu-talu, tetapi dalam antara sedar dengan tidak, saya tidak kesampaian untuk menjawabnya.

Namun apabila terdengar bunyi sms masuk beberapa minit kemudian, terdetik hati ini berkata, tentu ada kes besar.

Dan SMS mengenai kejadian tanah runtuh itu membuatkan mata mengantuk kerana baru sejam tertidur, menjadikan saya tersedar.

Alo bang. Nak bagitau kes tanah runtuh kat Bkt Antarabangsa di area bukit mewah dengan flet impian selatan, bkt utama dkt bukit antarabangsa jugak. Tpon xjawb.”

Begitu bunyi SMS yang saya terima.
Saya terus teringat kejadian 20 November 2003 semasa bersahur apabila mendapat panggilan mengenai runtuhan bungalow di Taman Hillview.

Saya merupakan wartawan pertama tiba di lokasi ketika kejadian itu, kira-kira jam 5-50pagi. Ketika itu hanya anggota polis, bomba dari Balai Ampang, anggota perubatan Bulan Sabit Merah dan beberapa penduduk taman yang ada .

Masih kendengaran jelas jeritan meminta tolong ketika saya tiba di lokasi ketika itu.

Adakah keadaannya sama seperti kejadian itu atau lebih buruk? Atau hanya runtuhan tanah sahaja?
———————————————————————–
Saya tiba di lokasi kira-kira 20 minit kemudian, dan ketika itu masih belum ramai yang berada di situ.
Saya menghantar SMS alert pada pejabat saya untuk makluman mengenai kejadian itu.

Terdapat ramai anggota polis, banyak jentera bomba, ambulan dan pelbagai kenderaan dari pelbagai agensi.
Ketika ini, barulah dapat sedikit gambaran tentang seriusnya runtuhan itu.

Deretan kereta diletakkan di tepi jalan yang kemudian saya ketahui adalah penduduk sekitar yang ada dalam perjalanan pulang ke rumah tetapi tersekat akibat runtuhan. Helikopter juga berlegar-legar di udara.

Dan sebagai wartawan kamera yang awal tiba di lokasi, inilah masa untuk mendapatkan visual sedekat, sebanyak mungkin kerana bila dah ramai nanti, peluang adalah tipis kerana ketika inilah banyak kawalan, command atau arahan dikeluarkan yang banyak ‘tidak boleh’ dari ‘boleh’.
Oleh kerana keadaan sekitar yang gelap, sukar untuk mendapatkan gambaran sebenar kesan runtuhan tetapi apa yang dimaklumkan, ramai terperangkap dalam sekurang-kurangnya enam bungalow.
Diringkaskan cerita, menjelang jam 6 pagi, keadaan di lokasi semakin dipenuhi dengan pelbagai agensi yang mencurah-curah tiba.
Beberapa mangsa cedera telah dibawa dengan ambulan, manakala dua mayat telah ditemui dan ditempat di surau berhampiran.
Telefon bimbit saya pula tidak henti-henti berdering dan tak sempat saya jawab kerana keadaan amat kelam-kabut ketika itu dan ruang untuk saya mengambil visual berhampiran lokasi semakin terbatas.
Menjelang jam 7 pagi, semakin ramai wartawan tiba, dan saya terpaksa mengambil keputusan meninggalkan lokasi kejadian jam 7-15 pagi setelah rakaman suara saya untuk berita jam 7-30 pagi dirakamkan.

Saya perlu tiba ke pejabat paling lewat 10 minit sebelum berita tamat jam 8 pagi supaya visual yang dirakamkan, dapat disiarkan.

Tepat 7-30 pagi, berita runtuhan menjadi berita utama, dan saya dalam perjalanan pulang ke pejabat untuk menghantar visual.

Dan ketika itulah telefon bimbit saya bertalu-talu dengan panggilan untuk mendapatkan maklumat.

Jam 7-35 pagi, saya tiba di pejabat di Bandar Utama, dan jam 7-50 pagi, visual pertama di lokasi kejadian, berjaya disiarkan kepada penonton.

Selebihnya, ianya menjadi sejarah, dan tempat saya diambil-alih oleh teman setugas lain, menandakan tugas saya seterusnya ialah mencari bahan berita lain pula untuk tatapan penonton.

Sepanjang bertugas sebagai wartawan kamera selama kira-kira 15 tahun, telah banyak rakaman peristiwa utama bencana di negara ini, saya antara yang pertama sampai di lokasi.

Antara bencana yang menjadi nostalgia saya yang menjadi antara yang pertama tiba di lokasi dan berjaya merakam visual-visual eksklusif termasuk Tragedi Runtuhan Bungalow di Taman Hillview, Runtuhan di Putrajaya, Runtuhan Taman Harmonis Gombak, Operasi Menyelamat Mangsa Hanyut di HWay NKVE ketika Banjir Di TTDI, Shah Alam, Tsunami di Acheh dan Gempabumi di Jogjakarta, dan banyak lagi yang tak mampu ditulis semuanya di sini.

Jika ada peluang, saya akan posting foto2 dan cerita2 eksklusif yang tidak pernah disiarkan di mana-mana jua kejadian2 penting tersebut di sini.
Dan, bukan diminta, bukan dipinta, banyak lagi peristiwa, bencana pasti akan berlaku lagi. Semuanya kekuasaan Allah dan hanya Dia yang maha mengetahui.

Sama-sama kita berdoa, dijauhi segala perkara buruk itu berlaku ke atas kita.

Amin…

4 Comments

  1. leiah's Gravatar leiah
    07/12/2008    

    inilah akibat mendera alam sekitar

  2. KALAM JAUHARI's Gravatar KALAM JAUHARI
    07/12/2008    

    Salam takziah untuk semua mangasa tragedi ini. Mungkin masanya sudah sampai untuk kita membiarkan bukit bukau kita tanpa gangguan. Jika tidak bila alam semulajadi bersuara, inilah padahnya.

    Selamat Hari Raya Korban untuk saudara sekeluarga.

    Salam.

  3. broaman's Gravatar broaman
    06/12/2008    

    Bro kalau bole publish la gambor2 yg kaw2 punya

  4. katak_78's Gravatar katak_78
    06/12/2008    

    Bro..cepat la upload gambar and cerita pasal landslide nie…bagitau katak_ayu nanti yer

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Current ye@r *

Disclaimer/Penafian

WARNING !
The material on this blog may be offensive, frightening, indecent or objectionable

While every caution has been taken to provide my readers with most accurate information and honest analysis, please use your discretion before taking any decisions based on the information in this blog. Author will not compensate you in any way whatsoever if you ever happen to suffer a loss/ inconvenience /damage because of/while making use of information in this blog.

Loading

Archives

Categories

Malaysia Web Hosting