Penjelasan Isu Rampasan Ubat ‘Rumusan Ikon’
By ondscene on February 23rd, 2010
Perhatian:
Kepada anda yang masih meletakkan penulis sebagai berniat untuk sabotaj perniagaan seseorang, sila hentikannya. Saya hanyalah seorang manusia yang diamanahkan di muka bumi ini untuk melakukan tugas saya tanpa ada apa-apa kepentingan, atau dorongan mana-mana pihak atau mencelarukan pemikiran anda.
Dan paling penting, jangan buat spekulasi atau andaian kerana ia boleh membawa kepada salah tafsir.
Fakta yang dipaparkan adalah dari sidang media yang diadakan dan juga rentetan dari operasi yang dilakukan sebelum ini. Penulis tidak lagi membincangkan kes ini di dalam blog sehinggalah kenyataan penjelasan dikeluarkan oleh Bahagian Farmasi semalam.
Walaupun akhbar Sinar Harian dan Kosmo! menyiarkan beberapa rentetan susulan dari pihak syarikat selapas kes itu, saya langsung tidak membuat ulasan atau komen mengenainya, sehinggalah penjelasan rasmi ini.
Ada pertikaikan, kenapa rampasan produk syarikat ini kononnya diberi liputan meluas. Sebenarnya, ia bukan liputan meluas, tetapi produk ini yang sebenarnya mendapat pasaran meluas. Serbuan dan rampasan dilakukan hampir setiap hari oleh pelbagai agensi membabitkan pelbagai barangan dan produk dan mustahil wartawan akan buat liputan semua serbuan.
Tiada editor media yang akan membenarkan semua serbuan dibuat liputan dan disiarkan dan tiada wartawan yang akan membuang masa mengikut semua jenis serbuan dan operasi. Ia terlalu banyak malah kadang-kadang sehingga mencapai 30 kes dari pelbagai agensi melakukan serbuan di sesebuah negeri setiap hari.
Penulis sendiri tidak akan menggalak atau melarang pengguna dari menggunakan duit mereka untuk membeli atau tidak membeli lagi produk yang dirampas jika masih ada di pasaran.
=============================================================
Kenyataan ini ditujukan secara umum dan tidak ditujukan kepada individu atau syarikat tertentu:
Ada syarikat atau individu yang mendakwa penulis bermotif jahat iaitu untuk menjatuhkan perniagaan mereka dengan menyiarkan /membongkar berita-berita sebegini.Saya tidak akan memaafkan mereka yang membuat tuduhan itu. Nasihat saya, anda yang sepatutnya memohon maaf kepada rakyat Malaysia yang telah anda tipu selama ini dan mengaut keuntungan atas kepercayaan orangramai dan susah payah mereka selama ini.
Nasihat saya juga, jika anda hendak berniaga, kenallah serba sedikit undang-undang dan peraturan yang telah dibuat, belajarlah dari mereka yang tahu,bertanyalah pada yang arif, jangan bongkak akan taraf,kedudukan atau jawatan anda , duit yang anda ada dan jangan membuta tuli dan buta undang-undang sehingga akhirnya, anda pula yang menyalahkan orang lain.
Jangan juga salahkan orang lain, jika kekayaan yang anda rompak dari orangramai hasil penipuan anda, akhirnya Allah tarik balik sekelip mata.
Kepada anda yang turut ‘menumpang’ kekayaan atas hasil ‘rompakan’ itu, kembalilah ke pangkal jalan sebelum terlambat. Hentikan menyalahkan orang lain, sebaliknya nilaikan akan ketaksuban anda selama ini untuk menjadi kaya raya…
++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
Rumusan Ikon
Sejak kes rampasan Produk Keluaran Syarikat Aura Adi Enterprise Januari lalu, ia sehingga kini masih menjadi isu hangat yang diperkatakan.
Sebenarnya , ada beberapa ruangan forum dan blog yang mempertahankan syarikat terbabit dan rata-rata mengatakan, ia adalah sabotaj pihak berkuasa ke atas syarikat bumiputera dan terhadap seorang kanak-kanak yang digelar sebagai genius.
Dan produk itu masih ada dijual sehingga sekarang.
Kenyataan syarikat juga menyatakan di dalam berita , bahawa ujian makmal UTM Skudai mengesahkan, tiada bahan terlarang di produknya, dan Adi Putra merupakan CEO syarikat yang membuat segala keputusan, manakala ayahnya hanya sebagai penulis ilmu untuk Adi.
Beberapa hari selepas berita itu disiarkan pada Januari lalu, pihak syarikat melalui akhbar Sinar Harian menyiarkan bahawa UTM Skudai mengesahkan produk Penawar Sendi Tulang tidak mengandungi dexamethaxone.
Beberapa hari lalu pula, melalui akhbar Kosmo!, kenyataan dikeluarkan syarikat bahawa pihaknya disabotaj malah tetap menyatakan, ujian makmal dari UTM mengesahkan tiada kandungan dexamethasone itu.
Keesokannya pula, juga melalui Kosmo!, UTM menafikan melakukan sebarang ujian dexamethasone ke atas produk terbabit.
Isu ini menjadi semakin bercelaru.
Dan 20 Feb lalu, sekali lagi syarikat diwakili ibu Adi dan Adi sendiri,tampil bersama peguam membuat kenyataan di TV.
Kali ini, ia menjadi lebih mengelirukan.
Ibu Adi mengakui, tidak tahu menahu siapakah empunya asal ubat yang dijual dan dia tidak pernah bertemupun dengan pengeluarnya, dan hanya berurusan dengan orang lain yang menjual ubat itu kepadanya.
Dakwaan ada ujian makmal di UTM sebelum ini juga tidak timbul, sebaliknya, USM dan sebuah makmal di Singapura pula kali ini yang disebut.
Pihak berkuasa juga didakwa melakukan rampasan sebelum ujian makmal diketahui.
Dan Adiputra memberi jaminan, ubatnya adalah betul dan membuat pengakuan dia adalah CEO syarikat terbabit.
Itu ringkasannya.
Dan , bagi menjelaskan keadaan sebenarnya, Bahagian Penguatkuasa Farmasi, Kementerian Kesihatan membuat penjelasan bagi mengelakkan kekeliruan dan kecelaruan seterusnya.
Menurut Pengarah Penguatkuasa Farmasi, Kementerian Kesihatan, Mohd Hatta Ahmad, pihaknya tidak pernah melakukan penguatkuasaan atas sebab sabotaj atau mempunyai kepentingan atau dipengaruhi mana-mana pihak.Tindakan dilakukan adalah semata-mata demi melindungi kepentingan pengguna selepas memperolehi bukti mencukupi dan tidak akan berkompromi mereka yang melakukan kesalahan, kerana isu membabitkan kesihatan merupakan isu yang amat sensitive kerana jika pengguna tersilap langkah, akibat paling buruk, ada kes sehingga menyebabkan kematian, kurang siuman atau kecacatan.
1. Aduan telah mula diterima dari orangramai mengenai Produk Penawar Sendi Tulang itu sejak Oktober 2009 akan keraguan mengenai produk terbabit.
2. Di masa sama, aduan juga diterima dari Kedah mengenai satu ubat bernama ‘Maajun Dua Istimewa’ yang dijual yang mempunyai ‘packaging’ , kandungan dan rupa yang sama seperti produk Aura Adi itu, kecuali labelnya sahaja yang diubahsuai. Ia dijual RM6 sebotol, manakala Penawar Sendi Tulang RM25 sebotol.
3. Bahagian penguatkuasa mula menjalankan risikan dan mendapatkan sample ubat. Bagi mendapatkan sample, ubat dibeli terus dari pengedar , ejen jualandi beberapa lokasi seluruh negara. Semua sample yang berjaya dibeli di seluruh negara, dikumpulkan dan semuanya dibuat ujian bagi mendapatkan hasil keputusan – jika semua hasil ujian dari setiap botol ubat,mendapat keputusan yang sama, maka bukti sudah mencukupi untuk tindakan selanjutnya dilakukan.
4. Ujian makmal tidak dilakukan sekali, malah beberapa kali di Makmal Penguatkuasa Farmasi, Makmal Biro Pengawalan Farmaseutikal dan makmal Jabatan Kimia, dan menggunakan beberapa method dan peralatan canggih, bagi mendapatkan hasil yang tidak boleh dipertikaikan lagi.
5. 5 Nov 2009, hasil muktamad keputusan ujian makmal diperolehi – disahkan mengandungi dexamethasone iaitu steroid.
6. Risikan seterunya dilakukan bagi mengenalpasti lokasi sebenar stok disimpan dan arahan juga dikeluarkan kepada semua penguatkuasa negeri memeriksa samada terdapat lokasi tertentu ubat ini simpan di negeri mereka. Ini bagi membolehkan serbuan secara serentak dilakukan.
7. Ketika ini, usaha mengesan dari manakah asal-usul ‘Maajun Dua Istimewa’ juga digiatkan dan tumpuan ialah sekitar utara tanahair.Akhirnya, tiga buah rumah yang dijadikan pusat pembungkusan ubat berjaya dikesan dan diserbu di Pulau Pinang dan Kedah. Disitulah ditemui, punca dipercayai asalnya ubat penawar Sendi Tulang dibotolkan dan Maajun Dua Istimewa itu.
8. 17 Jan 2010, serbuan dilakukan di sebuah premis di Taman Berlian, Gombak. Ia merupakan sebuah rumah dua tingkat yang dijadikan sebagai kilang untuk membungkus ubat-ubat keluaran Aura Adi Enterprise.
9. Beberapa orang termasuk kanak-kanak sedang melakukan kerja pembungkusan. Keadaan di dalam rumah dipenuhi dengan pelbagai label, botol-botol kosong, ‘diskettes’ ubat homeopati di dalam botol,alat penimbang serta stok produk yang telah siap dibotol dan dilabelkan
10. Salah seorang di dalam premis itu mengakui, tugas mereka hanya melekatkan label pada Produk Sendi Tulang yang diterima dari pembekal dan telah siap dibotolkan.
11. Manakala 6 lagi produk dengan jenama AdiQ adalah pil Homeopathi yang dibeli dari Homoepathic Store, 30, Allama Iqbal Road, Lahore, Pakistan, terdapat dalam dua saiz pil – kecil dan besar.
12. Menurut manual sebagai panduan mereka yang mengisi botol-botol kosong itu, beberapa botol akan diisi pil yang sama, tetapi dilabelkan sebagai jenama yang berbeza.
13. Dari segi kandungan, pil, penerangan dan kandungan pada label , serta botol Maajun Dua Istimewa adalah sama dengan Penawar Sendi Tulang – Cuma label sahaja yang berlainan.
14. Pada Label Maajun Dua Istimewa, terdapat beberapa kesilapan ejaan yang turut ditiru pada label Penawar Sendi Tulang. Ejaan lebih menjurus kepada frasa sebutan orang Cina/Indonesia di Malaysia.
15. Kesilapan paling ketara ialah perkataan/frasa berikut yang terdapat pada label kedua-dua produk:
‘Siti Halia’ tercatat pada label kedua-dua produk, sedangkan tiada dalam istilah ramuan produk tradisional sebagai Siti Halia. Mungkin ia rumusan seseorang bernama Siti Halia. Ia juga mungkin sepatutnya ditulis sebagai ‘Pati Halia”
‘Cengkeh’ – yang berkemungkinan dimaksudkan ialah sebagai Cengkih. Bagaimanapun, cengkeh ialah bahasa Indonesia,manakala Bahasa Malaysia, ia adalah cengkih.
‘Mustaka’ – yang berkemungkinan dimaksudkan sebagai Mustika – tetapi Mustaka juga adalah sejenis herba yang berasal dari India.
‘Akar Kayu Patah Tehlol’ – yang Ini sukar untuk dipastikan, apakah akar kayu itu, atau adakah ianya sebagai ‘patah teloi’ atau ‘patah telur’ atau ‘patah tehloi’, tidaklah dapat dipastikan. Carian pada google juga gagal menemui entry mengenai ‘patah tehlol’.
16. Rumah yang dijadikan kilang adalah menjadi kesalahan di bawah undang-undang pihak berkuasa tempatan dan perlu mendapat kelulusan berbagai pihak seperti PBT dan Jabatan Bomba dan Penyelamat. Di dalam kes ini, sebuah rumah teres dua tingkat dijadikan pusat pengilangan/pembungkusan produk syarikat.
17. Ada pekerja didapati di bawah umur dan tidak terkawal yang merupakan satu kesalahan manakala kerja-kerja membuat pembungkusan dan labeling produk ubat yang dikategorikan sebagai satu proses pembuatan ubat, juga merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan Dadah & Kosmetik 1984. Ia juga perlu mematuhi GMP Good Manufacturing Procedure atau Amalan Pengilangan Baik.
18. Tiada sebarang rekod pada Kementerian Kesihatan yang syarikat pernah atau cuba memohon sebarang sijil atau kelulusan bagi mendaftarkan semua produk terbabit.
19. Walaupun terdapat cetakan logo Halal pada label, namun ia bukan logo Halal dikeluarkan oleh Jakim walaupun ianya hampar menyerupai logo hala Jakim. Jakim juga tidak pernah menerima sebarang permohonan untuk sijil halal bagi produk syarikat ini.
20. Tanpa mendaftarkan ubat terbabit, sudah cukup untuk tindakan dilakukan walaupun jika tiada dexamethasone ditemui.
21. Sebenarnya, sebarang ujian lain yang dilakukan oleh pihak yang dikenakan tindakan selepas rampasan dilakukan, ianya tidak akan lagi relevan kerana ubat yang dirampas ada pada pihak berkuasa. Oleh itu, sample yang diberikan pihak syarikat kepada makmal manapun selepas rampasan dilakukan , tidak boleh diterima pakai kerana tidak diketahui dari mana sumber ubat itu diberikan kepada makmal.
22. Dakwaan Adiputra bahawa dia adalah CEO sebuah syarikat ‘enterprise’ adalah meragukan malah ianya tidak boleh diambil kira kerana Adiputra hanyalah seorang kanak-kanak berusia bawah 18 tahun dan masih di bawah kawalan ibu bapanya.
23. Bagi syarikat atau perniagaan di Malaysia, undang-undang menetapkan , mereka yang berusia 18 tahun ke atas sahaja dibenarkan mendaftarkan syarikat atau perniagaan mereka, manakala bagi sebuah perniagaan ‘enterprise’ diragui kewujudan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif CEO.
24. 6 lagi produk AdiQ yang dirampas kerana ia juga tidak didaftarkan, bagaimanapun produk terbabit tidak mengandungi sebarang bahan yang tertakluk di bawah Akta Racun 1952. Pil-pil homeopathy terbabit hanyalah sucrose dari gula tebu
25. Kertas siasatan telah siap dan sedang diperkemaskan butirannya dan pendakwaan akan dilakukan tidak lama lagi.
Lawati juga laman web Harian Metro dan You Tube
Ubat Genius Adiputra Diragui dan
http://www.hmetro.com.my/#2
untuk melihat sedutan sidang media ini.
Post Lain Yang Berkaitan
12 Comments
Saya bersimpati dengan Adi Pura yang telah dieksploitasi oleh ibu bapanya sendiri semata-mata mengejar kemewahan diri. Ibubapanya sepatutnya insaf dan bersyukur dengan anugerah Tuhan yang diberikan kepada Adi Putra dan menguruskan permata hidup sebaik-baiknya. Adi Putra betul-betul tidak terurus dari segi fizikal dan persekolahannya.
Bro, selagi saudara tidak memiliki syarikat menjadi pesaing kepada syarikat diserbu, I think it is OK.
(I believe that you don't)
Tanggapan manusia tidak akan berkesudahan sampai akhir dunia sekalipun.
Jika laporan ditulis berdasarkan fakta dikeluarkan pihak berkuasa bertanggungjawab, it is OK. Selagi bukan saudara mencipta kenyataan sendiri.
(which I believe you didn't)
So, teruskan menulis.
Salam,
Terima kasih kepada penulis yang telah mendedahkan perkara sebenar. Maaf sekiranya komen saya ini menyinggung banyak pihak. Pada pendapat saya mengenai isu Adi Putra ni ada yang mengambil kesempatan terhadap populariti namanya. Kalau ibu bapa dia jujur produk yang dipasarkan tu biarlah memang produk yang diguna sendiri oleh Adi dan ibu bapanya sehingga melalui pemakanan tersebut Adi menjadi genius. Contoh yang boleh di lihat adalah Dr Fadzley yang memformulasikan ramuan yang dirumus ibunya dan telah beliau amalkan sendiri buat sekian lama cuma di modenkan pengilangan dan dikomersilkan sahaja supaya orang lain pun dapat manfaat. Kalau sekadar prodk orang lain yang buat dan dibungkus dan dilabelkan semula lebih baik jadi ejen pengaluar asal sahaja. Tak perlu menipu orang ramai. Saya setuju dengan penulis ini satu peringatan dari Allah untuk orang Islam dan patutnya syarikat ini perlu bersyukur kerana telah menerima hukuman/pengajaran di dunia. Akhirat esok mana nak jawab. Wallahua'lam.
Dr Zulkarnain
saya setuju adi telah dipergunakan.. tapi juga saya rasa ibubapa beliau juga digunagunakan sekali … sian satu famili …
bersabarlah adi ..
terimakasih atas pendedahan yg telus sekali gus menafikan tohmohan2 yg dibuat. Semoga usaha tuan mendedahkan penipuan ini diberkati Allah..
Kesian adi dimanipulasikan oleh parents yg mengejar keuntungan dunia, malu bila tengok adi tidak kemana2 pun dgn status genius nya sedangkan budak genius sopre pon nak beljar dan masuk U..tapi adi?? siapa yg salah??
Kadang2 kebenaran terlalu pahit untuk diterima baik kepada pengusaha, pengeluar mahupun pengguna tegar. Walaubagaimanapun saya kagum dengan keberanian saudara membongkar kebenaran. Banyak manfaatnya khasnya kepada pengguna seperti kami. Jangan beriya2 buat rampasan, kata produk tak betul, ada dadah la tapi labelnya dikaburkan. Tak disebut pun dalam berita. Ketelusan menyampaikan berita kepada pengguna tidak ada. Ikhlas ke?
Tahniah bro ngan berita yg kau buat buat ni.
Apa yg aku tengok kat Malaysia ni bila sebut MLM/Piramid dan sistem berniaga gini semua dok fikir nak kaya cepat. Mentaliti dah begitu kemudian ada pulak yg ambil kesempatan buat untung.
Sama la juga ngan air mineral yg ada dijual. Kalau yg botol 20 liter tu bukan main mahal. Cuba kau pergi kilang dia air paip juga kmdn guna penapis yg canggih sikit. Pada aku itu menipu modal 10sen untung 100%.
Macam ubat ni orang Melayu terutama memang sengal abis nak melantak ubat tanpa usul periksa. Kalau takat ambik buah mengkudu, jemur kmdn buat air aku tak kisah sangat…ni bila dah sampai makan ubat terus jadi cerdik…mmm.
Agaknya kepentingan di dunia lebih utama kot dari keuntungan di akhirat sedangkan dua dua penting.
Apapun bro aku tetap menghargai usaha kau.
Tahniah sekali dan jangan putus asa.
p/s data tempat kemalangan kat KM 430 – 450 tu di harap pihak berkenaan dah ambik tindakan segera bukan tunggu tahun 2011.
mesinjahitsinger
tak ada ubat yg boleh menjadikan seseorang itu pintar kecuali usaha dan doa.
mungkin ini balasan Tuhan kepada ibubapa Adi yg berlagak kononnya anak mereka la yg paling pandai.
pelik budak kecil buat keputusan dlm syarikat. bila dia belajar pasal perniagaan ye????
kalau dah malas baca buku, malas buat kerja rumah, makan pil maajun di jampi tok imam pun tak de gunanya.
Kekadang aku tengok statement yang di buat oleh budak nie nampak macam takbur pun ade..
Kalo tengok kat negara lain, ade gak budak pintar @ genius, tapi dieorang still pegi sekolah..
ntahlah..
sori, lari tajuk
kalau mak bapak adi bagi komputer, mesti boleh jadi pengasas komputer unggul macam linus, jobs, gates, young, google berdua tu.
Adiputra ni walaupun masih kecil tapi cara dia bercakap memang berlagak..saya pun tak faham kenapa dia tak nak pegi sekolah atas alasan otak adiputra kononnya macam Ferrari dan sistem pendidikan di Malaysia ni macam Kancil..isy..isy..kecik2 lagi dah macam tu..apa laa agaknya yg mak bapak dia dok ajar kat dia selama ni ye??
Budak2 lain yg genius pun masih lagi pegi sekolah dan belajar tapi Adiputra yg tak nak sekolah tu bleh pulak berlagak jadi CEO syarikat..
hahaha..nak tergelak pun ada bila bapak dia kata semua keputusan syarikat Adiputra CEO yang buat..betul2 genius laa mak bapak adiputra..:P