NOTA : Foto disiarkan tiada kaitan dengan artikel ini, tetapi adalah foto kes yang dirakamkan ondscene
Salam Ramadan
Saya kerap menerima panggilan telefon dari rakan wartawan dari pelbagai media cetak mengenai isu ini.
” Bang, tadi jurufoto kami ada snap foto satu kes kemalangan di xxxxxx. Boleh tak abang bagi saya maklumat mengenai kemalangan tu?
Biasanya, saya akan gelak sahaja apabila menerima panggilan dan permintaan itu dan selalunya akan berakhir dengan ‘ceramah’ kepada rakan wartawan terbabit.
Kerana, walaupun mungkin saya boleh dapatkan maklumat penuh mengenai kes itu, tetapi mengapa saya pula yang dipertanggungjawabkan?
(Tapi biasanya, saya akan cuba juga dapatkan butiran kes tersebut)
Saya menghormati tugas rakan-rakan jurufoto semua, malah mereka selalunya dapat merakamkan foto-foto yang cukup bermakna dan penuh dengan nilai yang sukar diungkap di lokasi kes.
Ditambah pula dengan kamera dan peralatan bernilai puluhan ribu yang digalas dan dibawa ketika tugasan.
Bagaimanapun, apabila tiba kepada tugasan ‘kebetulan’, kebanyakan dari jurufoto berjaya dalam merakamkan foto, tetapi, apabila untuk ‘menyelesaikannya’, kebanyakannya GAGAL.
Artikel ini saya tujukan khas kepada ketua unit foto pelbagai media di negara ini.
Seorang jurufoto media kebetulan melalui satu kawasan di mana satu kemalangan jalanraya berlaku, dan dapat merakamkan pelbagai foto terutama ketika operasi menyelamat atau mangsa di lokasi.
Setelah berpuashati pelbagai foto dapat dirakamkan, mereka kemudian beredar dan pulang ke pejabat.
Foto akan dimasukkan ke dalam sistem, dan kemudian akan diakses pihak berkaitan seperti editor dan wartawan.
Malangnya, hanya foto yang ada – tiada sebarang ‘caption’ atau maklumat ringkas disertakan.
Maka, editor-editor tugasan akan mengarahkan wartawan untuk mendapatkan maklumat mengenai kejadian yang dirakamkan itu.
Begitu mudahnya tugas, sehinggakan sepatutnya kanak-kanak berusia 7 tahun pun mampu merakamkan gambar, kemudian serahkan kepada ibu atau bapanya.
“Ayah, ini adik rakam tadi orang jatuh beskal, pandai-pandailah ayah cari maklumat ye.”
Dan, apabila wartawan telah mendapat arahan itu, maka kelam-kabutlah mereka untuk mendapatkan maklumat kejadian itu, dan antara yang akan mereka tanya, ialah saya sendiri.
Mengapakah ada jurufoto yang hanya tahu merakamkan foto dan kemudian menyerahkan tugasan penyudahnya kepada wartawan?
Ada antaranya, memberikan jawapan berikut:
“Itukan kerja wartawan, pandai-pandailah mereka cari maklumat.”
“Nanti wartawan takde kerja pulak kalau dah ada maklumat kes ini.”
“Nanti wartawan akan naik lemak kalau semua kita yang buat…”
Sebenarnya, jurufoto harus tahu, perbezaan antara memproses berita dengan mengumpul maklumat.
Anda sebenarnya tidak dimintapun untuk melengkapkan berita hasil dari foto yang anda rakamkan.
Cukup sekadar mencatatkan fakta asas seperti lokasi, waktu kejadian, berapa mangsa, anggota bomba dari balai mana, dan jika dapat, latar belakang mangsa seperti nama atau juga bagaimana kemalangan berlaku secara ringkas.
Cukup.
Selebihnya, wartawan boleh dapatkannya melalui pengesahan dari polis atau bomba dan membuat susulan di hospital.
Malangnya, fakta paling asaspun kadang-kadang ada yang tidak mencatatkannya terutama lokasi sebenar kejadian.
Tanpa maklumat asas itu, wartawan juga akan mendapat kesukaran kepada pihak mana hendak dirujuk, atau apakah kisah di sebalik kejadian itu.
Jangan buat macam tu , kerana gaji ribuan ringgit yang anda terima, seharusnya tidak semudah anda klik kamera itu.
Lebih malang lagi, ada jurufoto akan rakam foto beberapa individu penting di lokasi , kemudian terus pulang ke pejabat dan tanpa mencatatkan siapakah di dalam foto itu sebagai ‘caption’.
Maka, terjadilah kesilapan dalam ‘caption’ terutama nama mereka yang ada di dalam foto terbabit.
Kejadian-kejadian ini pernah menyebabkan hubungan dingin antara wartawan dan unit foto sesuatu media.
Di negara Barat, kini ramai menjadi ‘Photo Journalist’ atau ‘Wartawan Foto’ – lengkap dengan kamera puluhan ribu ringgit dan buku catatan.
Malah di negara kita juga , tugasan Wartawan Foto telah ramai mengamalkannya dan contoh terbaik ialah akhbar Sinar Harian.
Sebab itu, kini kebanyakan wartawan, lebih senang membawa kamera kompak sebagai ‘backup’ jika kebetulan mereka pula berada secara kebetulan di sesuatu lokasi kes.
Jadi, kepada jurufoto, nasihat saya , apa salahnya mengambil butiran asas kemudian pulang ke pejabat dengan tenang.
Nanti apabila syarikat tempat kita bekerja bercadang mengurangkan jurufoto kerana wartawan boleh ambil sendiri foto, maka susah nak cari makan lagi…
Ini sekadar pandangan saya yang telah 25 tahun berkecimpung dalam dunia fotografi dan video kewartawanan.
Untuk makluman jurufoto media, saya sendiri melakukan 2 tugasan dalam satu masa.
Di tangan kanan saya, kamera video sebagai tugas hakiki saya merakamkan visual kes untuk Jabatan Berita TV3.
Di tangan kiri saya, kamera kompak (berharga RM298.00) untuk bahan blog ondscene ini dan juga ehsan untuk media cetak lain.
Buku catatan saya ialah dengan mengingat segala fakta atau juga rakamkan apa-apa fakta mengunakan telefon bimbit.
Keadaan lebih parah apabila kejadian berlaku dalam hujan lebat kerana payung perlu dipegang, dan kedua-dua tangan ada kamera, dan kesilapan boleh menyebabkan kamera turut terkena hujan.
Kemudian saya perlu bergegas pulang ke TV3 untuk memproses berita, kemudian siapkan pula bahan dan foto untuk diemail kepada media lain, kemudian untuk blog ondscene ini.
Selamat menunaikan ibadah puasa.
ondscene.sham@gmail.com
Kuala Lumpur














Assalamualaikum,
Maklumat dalam entri ni tak akan dijumpa dlm mana2 buku rujukan di jabatan komunikasi dan penyeiaran universiti…terima kasih kerana sudi berkongsi sebahagian pengalaman 25 tahun itu.
Inilah adalah Kemahiran insaniah (soft skills) yang tak ada dalam SOP tetapi akan membantu kita dalam banyak hal.
sama2 membantu apa salahnya.. sekurang2nya kita memberi info yang penting kepada semua.. Gd job brother.. what u did now ada ganjarannya..
tahniah abg sham… tak semua org yg perihatin tentang perkara sebegini… ayuh laa sama2 kita sokong ondscene.my
salam,saya teringat kawan saya yang jadi wartawan,pernah ada budak sekerja dia bagi gambar tapi takder cerita,mmber tertanya nak tulis cerita apa nih?gambar saja..
Kebetulan, saya ada seorang sahabat yg bertugas sebagai cameraman (still & video) untuk sebuah penerbitan Akhbar Harian berbahasa Inggeris yg terkemuka.
Apa yg dipraktikkan oleh Abang Sham, juga dilakukan oleh beliau. Kebetulan kamera Video beliau juga sama jenis dgn yg digunakan oleh Abang Sham. Bezanya, DSLR beliau lebih berat.
Namun berdasarkan pengamatan saya, (yg pernah beberapa kali mengikuti beliau membuat liputan acara ‘besar’) beliau akan membuat catatan (seringkali juga rakaman percakapan – menggunakan telefon pintar sebagai ganti alat perakam suara)
Sebelum ini saya anggap perbuatan beliau adalah perkara biasa… Rupanya… ?
Tahniah dan Syabas untuk Abang Sham! (dan Sahabat saya – Abang Din)
baru tau wartawan dengan cameraman dua manpower yang berlainan…ingatkan, wartawan yang tangkap gambar, wartawan yang soal selidik buat berita….hhmmm..i learn a new things today…
ya, saya juga baru tahu…
well said! tahniah
terbaik bro