Kanak-Kanak Diselamatkan Selepas 6 Jam Menjadi Tebusan

Jalan Raja Mahmud
Kg Baru, Kuala Lumpur
23 Jan 2012
10.30 pagi- 4.30 petang

Seorang kanak-kanak perempuan berumur 10 tahun berjaya diselamatkan selepas dijadikan tebusan hampir 6 jam hari ini di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Dalam usaha menyelamatkan kanak-kanak tersebut yang sentiasa diacukan pisau, polis akhirnya terpaksa menembak penjenayah terbabit.

Gambar dan butiran lanjut akan dikemaskini.

@kujie

———————————————————————————

Butiran penuh:

Saya menerima maklumat mengenai kes ini kira-kira jam 11 pagi dari rakan setugas, Mazidul , ketika telah selesai kes kemalangan 2 buah bas yang meragut 1 nyawa di Serdang (akan dimuatnaik selepas ini).

Di dalam kejadian yang berlarutan sehingga kira-kira 6 jam ini, penjenayah akhirnya mati setelah kira-kira sejam dimasukkan ke hospital selepas ditembak polis.

Pada mulanya, lelaki berusia 34 tahun tersebut dilihat berkeliaran sekitar Kg Baru di Kuala Lumpur.

Dan entah bagaimana, apabila tiba di Jalan Raja Mahmud, lelaki ini tiba-tiba menyerbu ke sebuah rumah.

Ketika kejadian, sekeluarga 6 orang berada di dalamnya, sedang menonton TV.

Lelaki terbabit sempat mencapai sebilah pisau dan menarik seorang kanak-kanak dan terus membawa dan mengunci bersamanya di dalam sebuah bilik.

Maka, bermulalah kejadian dan saat cemas dan genting ketika usaha untuk menyelamatkan kanak-kanak perempuan tersebut dijalankan.

Kanak-kanak malang tersebut dijadikan tebusan, dengan pisau sentiasa terhunus ke arahnya.

Polis segera dimaklumkan, dan tindakan pertama ialah menutup laluan ke lokasi dan mengepung kawasan sekitar rumah.

Sukar  untuk polis untuk bertindak kerana mangsa dan saspek berada di dalam bilik yang dikunci dan bimbang kanak-kanak terbabit dicederakan.

Rundingan demi rundingan diadakan dari sebalik pintu, tetapi tiada jalan penyelesaian, malah penjenayah meminta untuk dibebaskan dan juga dadah untuk digunakannya.

Tiada akses untuk masuk ke dalam bilik, dan dipercayai kanak-kanak tersebut sentiasa dihunuskan pisau ke arahnya.

Ayah kanak-kanak itu juga yang tidak berapa sihat, dibawa ke dalam rumah untuk cuba membantu polis membebaskan anaknya.

Ambulan Hospital Kuala Lumpur dan Jabatan Pertahanan Awam juga diletakkan dalam keadaan bersiap-sedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Pendekatan psikologi terpaksa digunakan, malah menjelang petang, seorang pakar psikiatrik turut dipanggil bagi membantu, tetapi saspek semakin hilang pertimbangan.

Saspek , berasal dari Sabah, tiada rekod sebagai pesakit jiwa, sebaliknya mempunyai rekod jenayah lampau terlibat dalam kes samun.

Ibu kanak-kanak tersebut tidak mampu menghadapi ke adaan dan tidak henti-henti menangis  dan terpaksa ditenangkan oleh orangramai.

Seorang rakan saspek , seorang wanita, juga berjaya dikesan polis dan membawanya ke lokasi untuk memujuk – juga gagal.

Segala ikhtiar telah dilakukan dan polis perlu bertindak dengan bijak supaya dapat membebaskan kanak-kanak tersebut secepat mungkin walaupun berisiko tinggi.

Akhirnya, jam 4.08 petang, pakar psikiatrik dan wanita terbabit dilihat keluar dari rumah itu bersama polis.

Dan seminit lepas itu, beberapa das tembakan kedengaran – dan keadaan menjadi begitu kelam-kabut.

Polis, hasil perancangan teliti, akhirnya berjaya memecahkan pintu bilik dan melepaskan tembakan yang mengenai rusuk kiri penjenayah.

Dengan pantas, kanak-kanak itu dibawa keluar segera dari bilik dalam keadaan selamat dan terus dibawa ke dalam ambulan untuk di bawa ke Hospital Kuala Lumpur.

Jam 4.15 petang, lelaki yang cedera parah itu, segera dikejarkan ke HKL, dan kemudian mati tidak lama kemudian.

Dan sebaik segalanya selesai, secara spontan orangramai bertepuk tangan dan mengucapkan tahniah kepada polis.

Post Lain Yang Berkaitan

4 Comments

You must be logged in to post a comment.