Mayat Bayi Yang Ditanam, Digali Semula

Kg Gumut
Kalumpang, Hulu Selangor
8 April, 2011
8 malam

Oleh kerana situasi kerja yang agak sibuk, beberapa posting tertangguh. Antaranya, entry ini yang saya buat liputan di Kalumpang 8 April lalu.

Entry lain termasuk kemalangan maut penunggang motosikal di Jalan Mahameru pada 9 April lalu.

Ketika liputan di Kalumpang, satu kes lori membawa kotak terpakai terbabas dan badannya terbalik di Lebuhraya Karak berlaku. Saya tidak sempat pergi kerana ketika itu berada di lokasi penggalian mayat bayi di dalam kawasan kebun di Kalumpang.

Bagaimanapun, pembaca setia ondscene, Hasmuni, ada butirannya. Saya akan siarkan nanti.

————————————————–

Setiap kelahiran dan kematian, mesti dilaporkan.

Gagal melakukannya, ia menjadi kesalahan dan boleh didakwa di bawah Seksyen 318 kanun Kesiksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Apa yang berlaku di dalam kes ini ialah, seorang bayi dilahirkan tidak cukup bulan (7 bulan).

Bayi dilahirkan tetapi meninggal dunia dan ditanam oleh seorang lelaki- seorang warga Indonesia.

Teman wanitanya yang juga warga Indonesia, melahirkan bayi tersebut, bagaimanapun melarikan diri.

Berdasarkan maklumat orangramai, jam 11.45 pagi, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Kalumpang melakukan siasatan dan akhirnya menahan seorang lelaki warga Indonesia berusia 26 tahun.

Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supt Norel Azmi Yahya Affandi, lelaki terbabit tidak mempunyai paspot dan bekerja di sebuah ladang memproses baja di Kg Gumut, Kalumpang.

Hasil soal-siasat, lelaki terbabit mengaku menanam mayat bayi terbabit pada 30 Mac lalu, dan kemudian menunjukkan lokasi mayat ditanam.

Bagaimanapun, bukan semudah itu untuk menggali semula mayat yang telah ditanam – ianya memerlukan kebenaran magistret sebelum kerja penggalian boleh dilakukan.

Akhirnya, polis berjaya mendapatkan perintah magistret bagi menggali semula untuk mengeluarkan mayat bayi bagi proses bedah siasat dan siasatan lanjut.

Perintah dikeluarkan Magistret Kuala Kubu Bahru, Mohd Fairuz Johari yang turut sama berada di lokasi ketika kerja-kerja penggalian dilakukan.

Kerja menggali bermula jam 8.10 malam, di satu kawasan semak di belakang sebuah rumah di dalam kawasan ladang yang jauhnya kira-kira 5 kilometer dari jalan utama oleh sepasukan anggota Unit Forensik IPK Selangor.

Jam 9 malam, mayat bayi perempuan terbabit akhirnya berjaya dikeluarkan – setelah anggota forensik menggali sedalam kira-kira 1 meter.

Mayat ditemui diletakkan di dalam sebuah kotak dan telahpun berbau dan dihantar ke Hospital KKB untuk bedah siasat.

Nota: Lelaki terbabit ditahan reman selama 4 hari bermula 9 April manakala teman wanitanya masih gagal dikesan.

Post Lain Yang Berkaitan

4 Comments

You must be logged in to post a comment.