Serdang,
Km 305-7
Lebuhraya Utara Selatan
Suasana Lebuhraya Utara Selatan arah Kuala Lumpur ketika itu tenang.
Perjalanan menghampiri plaza tol Sg Besi lancar.
Bagaimanapun, ketika sedang memandu, tiba-tiba di hadapan saya dalam jarak kira-kira 10 meter , di KM 305-7, saya ternampak keadaan kelamkabut dengan beberapa kenderaan sedang mengelak sesuatu.
Saya amat pasti, satu kemalangan sedang berlaku.
Saya juga cuba mengelak sebuah kereta yang membrek secara mengejut.
Sebuah lori juga membrek mengejut dan hanya beberapa sentimeter dari seorang mangsa yang sedang bergelut terhimpit di bawah motosikalnya.
Saya tanpa berlengah memberhentikan kereta di lorong kecemasan dan ketika itu, semua aktiviti di lebuhraya seakan terhenti.
Semua kenderaan berhenti, tetapi tiada siapa yang turun membantu, malah pemandu lori dan kelindannya, hanya memerhati dari dalam lori keadaan mangsa yang cuba merangkak dari motosikalnya.
Saya keluar dari kereta yang diletakkan kira-kira 30 meter di hadapan dan segera mencapai sarung tangan dalam bonet belakang kereta.
Di masa sama, saya segera menelefon ambulan untuk meminta bantuan.
Saya segera berlari dan terlihat mangsa masih terkapai-kapai di atas jalan leseorangan
Beberapa penunggang motosikal juga segera mendapatkannya kerana bimbang ada kenderaan yang merempuh mangsa di tengah-tengah lebuhraya.
Mangsa kemudian dipapah ke tepi jalan dengan keadaannya yang berdarah di muka.
Dalam keadaan kesakitan dan bingung, saya mengesat darah yang mengalir di muka, dahi, pipi, bibir,kening mangsa dan meminta dia berkumur-kumur kerana darah banyak mengalir ke dalam mulutnya.
Dari situ, saya sempat bertanya namanya yang menurutnya adalah Wan.
Dia dalam perjalanan pulang untuk bekerja di KL setelah bercuti di kampung di Jempol, Negeri Sembilan, dan menurutnya dia adalah anggota polis.
Saya turut memaklumkan kepada peronda PLUS yang tiba tidak lama kemudian akan keadaan mangsa dan ambulan yang telah saya minta.
Beberapa minit kemudian, sebuah ambulan yang kebetulan melalui laluan itu berhenti (tak sempat saya nak melihat, dari Hospital manakah ambulan itu).
Salah seorang dari petugas bergegas ke lokasi dan terus menerangkan kepada saya , sebagai tanggungjawab, mereka mesti berhenti memberi bantuan jika terserempak dengan mana-mana kemalangan jika dalam perjalanan.
Petugas ambulan-Kami dalam perjalanan ke IJN membawa seorang pesakit jantung, dan kami berhenti untuk memberi bantuan
Saya – Ok tak pe, jangan risau, mangsa tidak kritikal, dan kebetulan, sebuah ambulan dalam perjalanan ke sini dan dijangka akan sampai beberapa minit lagi. Abang boleh teruskan perjalanan kerana pesakit jantung itu mungkin sedang bertarung dengan nyawa.
Petugas ambulan – Saya kena terangkan keadaan ini supaya tiada salah faham.
Saya – Jangan risau, abang tolong teruskan perjalanan. Saya uruskan bantuan di sini.
Dan, saya lihat, mereka benar-benar seperti rasa amat bersalah kerana tidak dapat membantu mangsa kemalangan itu.
Mereka berlari dengan pantas ke arah ambulan, dan segera meninggalkan lokasi.
Saya terfikir, mungkin pesakit jantung yang dibawanya dalam keadaan kritikal dan perlu tiba cepat di IJN, dan memang siapapun dalam keadaan itu, akan berada dalam dilema.
Dan kira-kira 5 minit kemudian, sebuah ambulan dari Hospital Serdang tiba di lokasi.
Mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut di mana leher dan bahunya juga dipercayai cedera.
Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada beberapa penunggang motosikal yang sanggup membantu mangsa dan menunggu sehingga bantuan ambulan tiba.
Bagaimanapun, dalam keadaan itu, apa yang amat jelas ialah tiada seorangpun pemandu kereta atau kenderaan lain selain motosikal yang datang membantu.
Malah pemandu lori dan kelindannya yang nyaris merempuh mangsa, hanya memerhatikan kejadian tanpa langsung untuk turun membantu, malah motosikal yang menghalang laluannya juga dibiarkan sehingga seorang penunggang motosikal mengalihkannya ke tepi.
Saya membiarkan persoalan itu bermain difikiran saya sejak kira-kira 15 tahun lalu, yang dari situ, saya dapat membuat banyak kesimpulan mengapa ia terjadi begitu.
Saya akan ulas dan berikan pandangan dalam artikel mendatang…






sifat yg saya puji…tapi apa2 hal…pakai sarung tangan…mungkin ramai tak tahu..dan sbb tu tak mahu membantu..
IX rasa ngeri & seriau kalau tengok gambar2 di blog BRO ni
member gua smua tanye camne bro ble dpt gambar2 ni..
Bro black canary – memang sarung tangan medical sentiasa ada dalam kereta saya dan beberapa first aid kits yang basic untuk bantuan awal.
ada banyak sebab mengapa kita perlu guna sarung tangan jika membantu mangsa kemalangan…
Ixora – itulah reality namanya…
manlukeman – bang, untuk makluman, semua foto2 adalah rakaman dan pengalaman saya sendiri tanpa saya mengambil dari mana-mana sumber lain, kecuali batik kg baru sumbangan rakan pembaca.
kenapa abg heran bila takde pemandu yang berhenti memberikan bantuan?
kan statistik telah menunjukkan bahawa kesesakan jalan raya di kawasan kemalangan adalah disebabkan oleh PEMANDU YANG MEMBERHENTIKAN / MEMPERLAHANKAN KENDERAAN BAGI MELIHAT KEMALANGAN..BUKANNYA MEMBANTU MANGSA KEMALANGAN..
ini Malaysia la bang..ramai yang takde akal..warga yang prihatin macam abg dan saya ni makin kurang..