Pantang Maut…

Jalan Kucing,
Kuala Lumpur
27 September, 2008
Bagi warga emas, Talib Mohd Daud, 59 tahun, Pasar Borong Selayang merupakan tempat yang digemarinya untuk membeli barangan keperluan untuk memasak sejak sekian lama.
Dan untuk lebaran bakal menjelang sedikit masa lagi, dia bersama isterinya, Zaiton Alambi, pagi-pagi lagi telah keluar rumah untuk membeli bahan mentah untuk memasak.
Bagaimanapun, mereka bukan tinggal berhampiran Pasar Borong Selayang, tetapi jauh ke selatan, di Bandar Tun Razak Cheras…
Selesai membeli barangan, kira-kira jam 8-30 pagi, Talib dan isterinya kemudian menuju pulang ke rumah.
Laluan Jalan Kucing dari Selayang agak sesak dengan kenderaan yang menuju pusat bandar kerana ramai warga kota melakukan urusan membeli-belah di saat akhir sebelum lebaran.
Pasangan suami isteri ini menaiki motosikal di laluan paling kiri.
Bagaimanapun, setibanya di tempat kejadian, berhampiran susur Jalan Tun Razak, kedua-dua mereka dikejutkan dengan hentakan kuat di bahagian sisi motosikal mereka.
Akibatnya, kedua-dua suami-isteri ini tercampak dan bergolek ke arah tepi jalan dan motosikal mereka pula terbalik.
Ketika itu jugalah, mereka ternampak kelibat sebuah motosikal terbabas dan terseret di hadapan mereka, dan seorang lelaki dilihat juga tergolek.
Kejadian terlalu pantas, dan beberapa saat kemudian, apa yang mereka nampak, ialah mayat seorang lelaki dengan keadaan tempurung kepalanya yang pecah, dan otaknya terkeluar.
Amat menggerikan, dan mereka sendiri tidak dapat mengingati bagaimana ia berlaku.
Selang beberapa minit kemudian, jalan mulai sesak kerana mayat mangsa terbaring di atas jalan.
Manakala ramai yang berhenti untuk melihat dan ada yang cuba menolong kedua-dua suami-isteri ini yang masih terbaring.
Mereka mengalami cedera di beberapa bahagian di tangan dan kaki.
Akibat kesesakan jalanraya yang amat teruk, ambulan tiba kira-kira setengah jam kemudian dan mereka diberi rawatan sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur, HKL.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Avin Morgan Sussai Selvam, 26 tahun dari Wangsa Maju.
Mayat dihantar ke HKL untuk bedah siasat.

Post Lain Yang Berkaitan

No Comments

You must be logged in to post a comment.