Kuala Lumpur
20 Ogos, 2008
Lagi, dan lagi….dan lagi….
Kemalangan membabitkan motosikal biasanya membawa penderitaan yang teruk kepada penunggang dan pembonceng.Walaupun mungkin sesuatu kemalangan itu bukan berpunca dari motosikal, namun, nasib mereka kita boleh maklum…
Situasi yang berlaku dalam kisah ini menunjukkan, walaupun penunggang motosikal melalui laluan yang betul, tetapi, mungkin disebabkan kecuaian pihak lain, mereka juga yang menjadi mangsa.
Kejadian kira-kira jam 3-30 petang di Jalan Setiawangsa 9.
Motosikal dinaiki pasangan suami isteri ini , kedua-duanya anggota tentera, dalam perjalanan pulang ke rumah dari arah Wangsa Maju.
Laluan mereka sepatutnya tidak menjadi masalah, dan mereka boleh pulang ke rumah dengan selamat dan selesa, yang tidak sampai satu kilometer dari tempat kejadian.
Bagaimanapun, sebuah kereta yang dipandu seorang wanita yang datang dari laluan bersebelahan, terus memasuki simpang ke arah Jalan Setiawangsa 9 ini.
Malang bagi suami isteri ini,apabila perjalanan mereka akhirnyan terhalang oleh kereta terbabit yang melintasi di hadapan mereka menyebabkan motosikal terus merempuh kereta ini.
Salah seorang dari mereka dipercayai tercampak ke arah cermin hadapan bahagian penumpang dan terjatuh ke atas jalan.
Saya dan beberapa rakan wartawan yang kebetulan melalui jalan ini beberapa minit selepas kejadian, turun dari kereta untuk membantu.
Melihatkan keadaan isteri mangsa yang kaku di atas jalan, saya mengambil keputusan menelefon ambulan Jabatan Pertahanan Awam di Jalan Semarak untuk bantuan.
Bagaimanapun, setelah diperiksa, mangsa tidak mengalami kecederaan parah tetapi kesakitan akibat terhempas ke arah cermin dan jatuh atas jalanraya.
Wanita ini bagaimanapun cedera di tangan dan kaki.
Manakala suaminya pula cedera di bahagian kaki dan punggung.
Seorang lelaki kemudian menawarkan untuk membawa kedua-dua mangsa ke hospital dan orangramai mengangkatnya ke dalam kereta.
Tidak sampai 10 minit kemudian, ambulan Jabatan Pertahanan Awam tiba dan memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum di bawa ke Hospital Kuala Lumpur.




Komentar