Terbabas Diasak Penunggang Motor Kurang Ajar

Jalan Ukay Perdana
Ampang
5 November, 2008

Sesungguhnya, mangsa kemalangan ini amat tabah…
Mangsa seorang wanita, cedera setelah terjatuh ke tebing pembahagi jalan apabila motosikalnya gagal dikawal setelah dihimpit seorang penunggang motosikal lain.
Kejadian berlaku kira-kira jam 6-30 petang, 5 November di Jalan Ukay Perdana.

Ketika melalui jalan ini, saya ternampak mangsa sedang terduduk di atas pembahagi jalan dan dua anggota polis peronda berada bersama mangsa.
Saya memberhentikan kereta dan bergegas kepada mereka untuk cuba membantu di mana yang dapat.

Wanita ini dalam perjalanan pulang ke rumah di Ukay Perdana dari pejabatnya di Cheras.
Kaki kanannya berdarah dan kedudukannya menunjukkan kakinya juga mungkin mengalami kecederaan.

Bagaimanapun, dalam keadaan kesakitan, mangsa tidak menunjukkan tanda-tanda takut, terkejut atau phobia, sebaliknya semangatnya kuat dan masih mampu senyum.
Secara psikologinya, kehadiran dua anggota polis peronda itu memberikan kekuatan kepada wanita ini untuk tabah dan kuat.

Menurut mangsa, motosikalnya terbabas dan dia terhumban ke atas jalan setelah sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki tiba-tiba menghimpit motosikalnya menyebabkan dia terkejut. Menyedari mangsa terjatuh, dia terus memecut motosikalnya meninggalkan mangsa yang hampir terlanggar oleh kenderaan lain.

Menurut anggota polis terbabit, kemalangan baru berlaku, dan mangsa sedang menunggu suaminya datang untuk menghantarnya ke hospital.
Saya merasakan, mungkin lebih baik dia dihantar menggunakan ambulan kerana tahap kecederaan sebenar tidak diketahui.

Saya lantas menghubungi Bilik Gerakan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia JPAM Jalan San Ah Wing menggunakan talian terus untuk bantuan ambulan dan rawatan awal di tempat kejadian. Kira-kira 10 minit kemudian, suami mangsa tiba dan bersetuju isterinya dihantar menggunakan ambulan.

Dan saya turut terharu dengan sikap jirannya yang ternampak mangsa dan turut berhenti untuk memberikan bantuan.
Kira-kira 15 minit kemudian, ambulan tiba dan mangsa dihantar ke Hospital Ampang Puteri untuk rawatan lanjut.

Sebenarnya, dalam keadaan itu, saya tidak sempat untuk meminta nama mereka yang berada di lokasi.
Kepada kedua-dua anggota polis peronda yang kebetulan melalui jalan itu, tahniah kerana cuba membantu mangsa dan tindakan cepat mereka juga dapat mengawal keadaan dan lalulintas yang sesak.
Hati saya juga berasa lega dan bersyukur kerana dapat membantu walaupun yang diberi hanyalah meminta bantuan ambulan dari rakan-rakan di JPAM yang pantas bertindak…

Post Lain Yang Berkaitan

No Comments

You must be logged in to post a comment.