Balai Ketibaan
KLIA, Sepang
30 Jun 2012
1 petang
Maaf, saya kekurangan foto kerana kamera ada masalah. Akan diusahakan kemudian termasuk foto-foto ketika misi ini dijalankan di Indonesia
Bagi 3 beradik ini, inilah kami pertama mereka menikmati layanan yang sebegini rupa, apalagi untuk menaiki pesawat, tidak pernah termimpi oleh mereka.
Dalam kegembiraan mereka menjejak kaki di tanahair sendiri setelah kira-kira 5 tahun meninggalkan negara dan hidup sengsara di tempat yang begitu asing, nasib kakak mereka yang berusia 12 tahun masih belum diketahui.
Semuanya bermula kira-kira 5 tahun lalu, apabila 4 beradik ketika itu berusia – Siti Norzana, 7 tahun, Nurul Syafizal Fitri, 6 tahun, Mohd Norhan , 5 tahun dan Masitah Amira, 4 tahun – dibawa merantau ke tanah seberang – Indonesia.
Ketika itu, ayah mereka, Nordi Hadi, 52 tahun, baru sahaja berkahwin dengan ibu tiri mereka setelah ibu kandung mereka, yang berasal dari Sabah, tiba-tiba menghilangkan diri.
Ibu tiri ketika itu merupakan seorang pekerja warga Indonesia yang bekerja di negara ini.
Mereka sekeluarga kemudian berpindah ke sebuah kampung di pedalaman Lampung, Sumatera Selatan dengan menaiki sebuah bot pancung.
Bagaimanapun, ayah mereka, Nordi terpaksa pulang ke Malaysia tidak lama kemudian untuk meneruskan kerja mencari rezki sebagai pengawal keselamatan di Johor bahru.
Masa terus berlalu, sehingga akhirnya timbul masalah apabila ibu tiri mereka enggan membenarkan mereka pulang ke Malaysia dan Nordi pula tidak mampu untuk ke sana dan perhubungan mereka terputus.
Bermula dari kakak, Siti Norzana, telah mula dikerah bekerja sebagai buruh dan menjadi penoreh getah seawal usianya itu dan diikuti 3 lagi adiknya itu, bagi menyara kehidupan.
Sebelah malam, mereka terpaksa berniaga kecil-kecilan di pasar malam.
Menurut Mohd Norhan yang ketika ini telah berusia 10 tahun, hajatnya membeli bola getah untuk dia bermain juga tidak mampu walau telah bekerja menoreh getah lebih setahun, kerana pendapatan yang begitu kecil.
Dan ketika ini juga, semua kanak-kanak ini juga dalam ketakutan kerana mereka telah menjadi pendatang asing tanpa izin di negara orang kerana mereka tidak memiliki paspot atau sebarang surat keizinan.
Nordi yang begitu risau akan keadaan anaknya, akhirnya meminta bantuan Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO di bawah Datuk Khairun Aseh untuk cuba menyelesaikan masalahnya.
Akhirnya setelah beberapa siri perbincangan dengan beberapa pihak di Malaysia seperti Jabatan Imigresen dan Indonesia, misi menyelamatkan 4 beradik ini perlu disegerakan sebelum keadaan menjadi lebih runcing.
Maka, pada Selasa lalu, Nordi bersama 2 pegawai Biro , Zuhairi Selamat dan Kamalkhalid Kamarludin terbang ke Jakarta dan akan meneruskan perjalanan ke Lampung bagi membawa pulang 4 beradik ini.
Dari Jakarta, mereka menaiki kereta selama 4 jam sebelum menaiki feri selama 2 jam menuju ke Terminal Feri Lampung, Sumatera Selatan.
Dari situ, mereka menyewa sebuah kenderaan Toyota Wish untuk perjalanan selama 8 jam meredah laluan sukar dan hutan belantara sebelum akhirnya menemui rumah didiami 4 beradik terbabit bersama ibu tiri dan keluarga.
Kedatangan mereka disambut dengan hambar dan tiada tanda positif mereka akan berjaya mendapatkan kanak-kanak terbabit.
Lebih malang lagi, hanya 3 sahaja yang berada di rumah, manakala Siti Norzana telah setahun meninggalkan rumah untuk bekerja di penempatan lain.
Untuk meredakan sebarang ketegangan, buah tangan di bawa, dan rundingan dilakukan bagi ‘membebaskan’ kanak-kanak terbabit dengan alasan kukuh bahwa mereka rakyat Malaysia dan ibu kandung mereka juga adalah rakyat Malaysia.
Akhirnya, persetujuan dicapai untuk membenarkan mereka di bawa pulang ke Malaysia.
Tetapi, mereka tidak sampai hati meninggalkan Siti Norzana yang untuk mencarinya, terpaksa pula mengambil masa kira-kira 5 jam perjalanan meredah belantara dan laluan sukar.
Akhirnya, setelah hampir 10 jam menunggu dan Siti Norzana masih tidak ditemui, pada subuh Jumaat, mereka terpaksa meningglkan pedalaman itu tanpanya.
Perkiraan mesti tepat dan cepat kerana mereka bimbang, jika keluarga ibu tiri akan mengubah pendirian atau keputusan di saat akhir ketika menunggu kemunculan Siti Norzana.
Mereka segera meninggalkan perkampungan itu dan meredah perjalanan sukar selama 8 jam sebelum tiba di Terminal Feri Lampung.
Selepas menaiki feri, mereka meneruskan perjalanan ke Jakarta untuk perjalanan hampir 24 jam tanpa henti itu, untuk segera mendapatkan tiket penerbangan ke Kuala Lumpur.
Dan sebelum berlepas, atas keprihatinan pihak berkuasa Indonesia, kanak-kanak terbabit hanya dikenakan denda 10 juta Rupiah kerana kesalahan tinggal melebihi masa dan tiada tindakan lain dikenakan.
Dan jam 12 tengahari tadi, mereka selamat mendarat di KLIA…
Nota : Misi untuk mencari dan membawa pulang Siti Norzana akan dilakukan dalam masa terdekat.
Kanak-kanak ini juga akan dilakukan pemeriksaan kesihatan dan juga untuk mereka dapat meneruskan pelajaran di negara sendiri. Mereka sendiri sudah tidak fasih berbahasa Malaysia.

















Alhamdulillah…. moga kisah ini akan menjadi pengajaran kepada orang lain.
Assalamualaikum,
Alhamdulillah.
Moga kakak sulung mereka juga boleh dibawa balik secepat mungkin, insyaAllah.
salam…
lama tak singgah dan komen2 kat sini..
Memang kesian..ingatkan abad ini dah tak de ibu tiri yang zalim,ternyata masih wujud lagi