Allahyarham Datuk Mohd Hazam Abd Halim Yang Saya Kenali

Kuala Lumpur
5 Feb 2010

Secara jujur, saya tidak mengetahui Allahyarham Datuk Mohd Hazam Abd Halim adalah seorang berpangkat Datuk sehingga saat kematiannya.

Saya mengenali arwah ketika beliau menjadi Ketua Polis Daerah Petaling Jaya kira-kira 6 tahun lalu, ketika itu berpangkat Asistan Komisioner Polis, ACP.
Bagi kebanyakan wartawan perempuan, arwah dikenali sebagai seorang yang ‘hansome’ dan sangat berdiplomasi serta mesra.
Pernah satu ketika, arwah menelefon saya datang segera ke satu lokasi di mana anggotanya berjaya menangkap seorang peragut (ketiga itu isu ragut menjadi tajuk utama media).

Menghargai panggilannya, saya segera ke lokasi dan tiba kira-kira 15 minit kemudian dan beliau telah sedia menunggu saya dan terus memberi penerangan akan fakta kes dan mengizinkan saya merakamkan foto penjenayah terbabit.

Dia minta saya highlightkan betapa peragut sekarang sudah menjadi amat kejam dan bertindak di luar batas kemanusiaan (saya sudah tidak berapa ingat fakta sebenar kes kerana sudah agak terlalu lama).
Akhirnya, kes itu menjadi tajuk utama Buletin Utama.

Tidak lama kemudian, arwah ditukarkan sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu dan hubungan saya dengan arwah terputus sementara.

Kira-kira dua tahun lalu, arwah tiba-tiba menelefon saya dan meminta bantuan saya akan satu kes yang sedang disiasatnya.

Saya agak terkejut menerima panggilan kira-kira jam 9 malam itu.

Datuk Hazam -”Shamsul… Azam ni. U busy ke?…”

Saya -”Saya tuan…Pelik ni, tuan masih ada simpan nombor saya lagi?”

Bersahaja nada suara arwah, dan saya masih membahasakan dirinya sebagai ‘tuan’.

Datuk Hazam -”I dah di Bukit Aman sekarang.”

Saya – “Wa…hebat tuan sekarang, banyak tempat dah pergi, akhirnya ke Bukit (Bukit Aman) jugak ye. Tahniah. Sebagai apa tuan?”

Datuk Hazam – ” Ala…takde apa hebatnya. Sama je…Tapi sekarang i dengan Commercial Crime.”

Sejak dari tarikh itu, saya dan arwah sentiasa berhubungan, dan kadang-kadang hanya bersembang kosong.

Saya masih tidak mengetahui bahawa ACP Mohd Hazam sebenarnya telah menjadi Senior Asisten Komisioner 2 , SAC 2 Mohd Hazam dan berpangkat Datuk.

Ini berikutan saya sudah jarang menghadiri sebarang sidang akhbar menyebabkan saya tidak berapa mengetahui perkembangan pegawai peringkat atasan dan masa saya banyak dihabiskan di jalanan.

Banyak perkara saya belajar dari arwah mengenai jenayah komersial dan ada beberapa kes saya serahkan kepada arwah dan teamnya untuk siasatan.

Antara kisah benar yang saya bekerjasama dengan arwah ialah seperti di dalam entry saya ini siaran 10 Januari 2009

Influenza CG – Jerat Cinta Di Internet

Penjenayah akhirnya berjaya ditangkap dan dipernjarakan. Kes ini tidak disiarkan dalam mana-mana media.

Kali terakhir saya dan arwah berhubung ialah pada 7 Januari lalu, dan ketika itu arwah berada di rumahnya di Seremban, bercuti.

Saya meminta bantuan arwah untuk menyiasat jika di bawah bidang kuasanya , satu kes membabitkan penipuan syarikat yang beroperasi di Kuala Lumpur.

Arwah meminta saya memberikan nama syarikat dan dia juga berjanji akan memberikan nama syarikat-syarikat yang mungkin ‘match’ dengan syarikat yang sedang disiasatnya.

Kerana sibuk, saya hampir terlupa mengenai kes itu dan bercadang untuk menghubungi arwah minggu hadapan.

Dan, saya masih belum mengetahui, arwah sekarang ialah Datuk Mohd Hazam dan saya tetap memanggilnya dengan panggilan ‘tuan’ atau ‘abang’.

Kadang-kadang panggilan telefon dijawab isterinya jika saya menelefon waktu malam dan biasanya arwah berada di surau.

Arwah akan menelfon kembali saya walaupun mungkin ketika itu jam telah melebihi 1 pagi.

Arwah pernah beberapa kali bertanyakan mengenai blog ondscene ini, kerana menurutnya, beberapa artikel saya membantu tugasannya.

Dan paling saya terkejut, apabila arwah berkata dan mengakui dia meminta anggota bawahannya terutama anggota baru supaya membaca dan mengkaji blog saya terutama bagaimana membuat laporan lengkap sesuatu kes.

Arwah juga berkata, blog saya dijadikan rujukan pihaknya.

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Jam 12-40 pagi tadi, saya menerima panggilan telefon.

“Kemalangan maut , Bukit Tagar, seorang maut seorang lagi tersepit.”

Saya sebenarnya berbelah bagi, sempat atau tidak untuk ke lokasi kerana lokasi yang jauh.

Setelah 10 minit, baru saya ambil keputusan untuk ke lokasi.

Ketika hendak menghampiri Plaza Tol Duta, saya dimaklumkan, kemalangan membabitkan seorang pegawai polis.

Saya terkejut, dan dah memikirkan tentu ia menjadi berita utama.

Beberapa minit kemudian, satu lagi panggilan telefon memaklumkan, seorang pegawai polis berpangkat SAC 2 meninggal dunia.

Lagilah saya terkejut.

Saya segera menelefon Cif Inspektor Maszaliza, Pegawai Penyiasat Trafik IPD Hulu Selangor dan meminta kepastian.

Menurut Cif Insp Maszaliza, dia dalam perjalanan ke lokasi dan benar, seorang pegawai polis berpangkat SAC 2.

Ketika melalui Sg Buloh, satu lagi panggilan telefon, memaklumkan, mangsa dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman dan anggota bomba sedang mengeluarkan mayat mangsa.

Lagi-lagilah saya terkejut.

Beberapa minit kemudian, saya dimaklumkan pula, mangsa berpangkat Datuk tetapi nama penuh belum diperolehi.

Hati saya berdebar-debar, puas memikirkan, siapakah dia?

Akhirnya, kira-kira jam 1-30 pagi, saya tiba di lokasi, dan saya lihat mayat telah dikeluarkan anggota bomba dan berbalut plastik hitam di atas pengusung.

Saya cuba bertanya beberapa orang di lokasi, siapakah mangsa kemalangan itu, tetapi yang saya dengar, mereka hanya mengetahui, sebagai Datuk Hazam.

Kepada siapakah untuk saya dapatkan pengesahan segera?

Tiba-tiba saya teringat kepada ‘Tuan Azam’ yang bertugas di JSJ Komersial Bukit Aman dan segera mencari nombor telefonnya di telefon bimbit saya.- tertulis sebagai B Aman Azam

Di telefon bimbit saya, saya menaip sms lebihkurang begini – ” Kemalangan maut, Ketua Penolong Pengarah JSJK Bkt Aman, Datuk Mohd Azam di km 419 Bukit Tagar”

Kemudian saya terus send kepada nombor B Aman Azam

Serentak dengan itu juga, saya dimaklumkan, Datuk Hazam ialah bekas OCPD Petaling Jaya.

Masya Allah, saya tersentak dan tangan saya terketar-ketar. Sms telah saya hantar.

Saya terpaksa menahan sebak dan sukar untuk mempercayainya…
Al Fatihah untuk arwah, Datuk Hazam Abd Halim, semoga ditempatkan di kalangan orang-orang soleh dan dicucuri rahmat oleh Nya.

Post Lain Yang Berkaitan

18 Comments

  • Pada 2010.02.05 06:14, shahpaskal menulis:

    sedih gila aku baca entry kau, tak sempat dia nak selesaikan kes penipuan kad kredit kita.

    • Pada 2010.02.05 06:32, Anonymous menulis:

      Alfatihah, semoga roh beliau ditempat dikalangan orang-orang yang beriman.

      Takziah juga untuk keluarga beliau.

      • Pada 2010.02.05 06:44, Rina277 menulis:

        Al-Fatihah buat arwah yg juga jiran saya di Seremban..knapa la org baik n jujur slalu diambil dulu sdgkn yg berbuat jahat masih bermaharajalela..

        • Pada 2010.02.05 07:10, azlina menulis:

          SALAM….
          AL-FATIHAH BUAT ARUAH SEMUGA ROH ARUAH DI TEMPATKAN DIKALANGAN ORG2 YG BERIMAN..

          • Pada 2010.02.05 07:18, AenalRamly menulis:

            AlFatihah…

            • Pada 2010.02.05 08:21, Anonymous menulis:

              Salam takziah..

              • Pada 2010.02.05 09:00, zulazahari menulis:

                Al Fatihah dan salam takziah drpd saya. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkan rohnya di kalangan mereka yang beriman.

                • Pada 2010.02.05 09:35, al amin ahmad menulis:

                  Jurukamera terkejut mangsa nahas kenalan polis

                  SEREMBAN: Apabila wartawan jurukamera TV3 Shamsul Liani Abas mendapat maklumat mengenai kematian seorang pegawai polis dalam nahas jalan raya malam tadi, dia terus menghantar SMS memberitahu kejadian itu kepada kenalan rapatnya, Ketua Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Mohd Hazam Abdul Halim.

                  Shamsul Liani, 45, menghantar mesej itu ketika dalam perjalanan membuat liputan kemalangan itu dan alangkah terkejutnya apabila tiba di tempat kejadian beliau mendapati mangsa kemalangan jalan raya yang sedang dirakam gambarnya adalah Mohd Hazam.

                  Mohd Hazam terbunuh apabila kereta yang dipandu pemandunya, Lans Koperal Asminton Salimin, dilaporkan terbabas melanggar belakang sebuah treler yang berhenti di lorong kecemasan di susur keluar ke Bukit Tegar, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Kuala Lumpur tengah malam tadi.

                  • Pada 2010.02.05 09:39, sreSHAziela menulis:

                    Innalillahi wa inna ilaihi rojiuun.. My sincere and heartfelt condolence to the Datuk Mohd Hazam family..

                    • Pada 2010.02.05 15:31, Dak Wan® menulis:

                      Innalillahiwainnailaihirojiuun…. Salam takziah dari teman untuk arwah dan keluarga. Al fatihah.

                      • Pada 2010.02.06 00:52, Anonymous menulis:
                        • Pada 2010.02.06 04:45, 2bz4money menulis:

                          Alfatihah buat Allahyarham Datuk Mohd Hazam Abdul Halim dan Takziah buat ahli keluarganya..

                          • Pada 2010.02.06 12:15, sI tEDI menulis:

                            Al-Fatihah dan Takziah!

                            • Pada 2010.02.07 19:10, winter gurl menulis:

                              Bro ,

                              blog ni menarik , pls keep your work , sumbangkan pengetahuan, pengalaman dan ilmu anda.

                              Thx

                              • Pada 2010.02.10 07:34, atynska :) menulis:

                                al-fatihah…sejujurnya…sy rakan kpd ank arwah ta prnh tau yg arwah pngkt besar…berpangkat datuk…keluarga dorang mmg low profile…ta prnh nak riak…..smgo arwah ditempatkan d kalangan org yg beriman…

                                • Pada 2010.02.17 08:36, " C.A.R's 39 " menulis:

                                  al-fatihah….

                                  • Pada 2010.02.24 03:52, kaklang menulis:

                                    xdpt dh tgk kehenseman mohd hazam, ketegasan mohd hazam, kesederhanaan mohd hazam,kepenyayangan mohd hazam,kelucuan mohd hazam,gelak tawa mohd hazam….Al Fatihah..

                                    • Pada 2010.11.19 09:15, najwa menulis:

                                      saya anak arwah , saya sangat sedih sebab arwah seorang yang penyayang dan penyabar , tak sangka dia pergi dengan cepat ;(
                                      apa yang saya mampu , saya hanya mampu berdoa ;(

                                      You must be logged in to post a comment.