Mari Belajar Teknik dan Taktik Menipu Dalam Perniagaan Ubat-ubatan
Bukan susah untuk berniaga ubat-ubatan , yang penting dapat untung berlipat kali ganda dan kena berani.
Tetapi, biasanya, diulangi, biasanya akhirnya akan kantoi juga.
Kenapa?
Kerana penipuan yang dilakukan sebenarnya belum cukup sempurna untuk mengelabui mata pihak berkuasa, orangramai dan alam sekeliling.
Semua apa yang dipaparkan di sini adalah sebenarnya dari kes-kes terdahulu yang mana pihak berkuasa telah berjaya mengesannya.
Mengapa setelah bertahun-tahun baru dapat dikesan?
Pada asalnya, perniagaan mengikut landasan yang betul. Produk yang dijual semua lulus ujian.
Setelah beberapa produk dijual, anda akhirnya mengambil keputusan menjual satu atau beberapa produk yang boleh jadi ‘meletup’.
Hanya ahli-ahli yang mengetahui.
Keywords biasanya seperti – menambahkan tenaga, terutama tenaga batin, sesuai untuk lelaki, mencerahkan kulit, menurunkan berat badan dengan berkesan, mencerdikkan minda dan macam-macam lagi yang membuatkan mangsa teruja.
Akhirnya, produk menjadi laris , dan iklan juga keluar merata-rata tempat, sambutan amat memberangsangkan.
Semasa itu, sudah ribuan pengguna telah menjadi mangsa – produk yang dibeli tidak memberi kesan yang diharapkan, atau kesan yang dapat, berlebih-lebihan – maka terkenallah produk anda.
Tapi apa yang berlaku di sebaliknya?
Anda mendapatkan produk itu dari seseorang yang memberikan penerangan panjang lebar tentang khasiatnya, dan anda bersetuju menggunakan jenama anda untuk memasarkan produk mengarut itu.
Hakikatnya, anda tidak tahupun apa kandungan sebenarnya.
Pengguna yang mengesyaki sesuatu, membuat laporan kepada pihak berkuasa, bagaimanapun ia tidak boleh dihebahkan selagi ujian lengkap dan sahih selesai.
Unit risikan penguatkusa akan menjalankan risikan – dengan mendapatkan ubat anda yang terlebih power itu.
Berbagai cara dilakukan, antaranya pengadu sendiri yang menghantar sample.
Tetapi ia tidak mencukupi, kerana bahan bukti mesti didapatkan dari pengedar/pengeluar itu sendiri.
Maka penyamaran dilakukan – beli ubat itu dari ejen atau pengeluar/pengedar, atau mungkin terpaksa menjadi ahli dahulu, baru dapat beli ubat itu.
Di masa sama, kilang mengeluarkannya cuba di kesan. Setakat pengedar seperti anda yang tertera pada botol, itu tidak mencukupi.Malangnya, kebanyakan kilang tiada di Malaysia – ubat-ubat ini kebanyakannya diimport dari China – bertong-tong banyaknya.
Ujian kemudian dilakukan ke atas sample/produk yang diperolehi itu, dan bukan sekali, malah berkali-kali dan menggunakan method yang pelbagai supaya hasil ujian tidak boleh lagi dipertikaikan.
Ia bukan memakan masa sehari dua, tetapi kadang-kadang beberapa bulan kerana untuk mengesan benda-asing iaitu ubat terkawal, agak mudah, tetapi teknologi menjadikan penyangak ini mencipta ubat-ubatan menggunakan teknologi analog iaitu campuran yang sukar dikesan , tetapi masih boleh dikesan menggunkan teknologi canggih.
Ada testimoni, tapi kenapa masih dirampas?
Anda boleh menggunakan sebanyak manapun testimoni untuk meyakinkan mangsa anda.
Sudah tentu testimoni adalah yang baik-baik, bagus-bagus…dan anda mesti meletakkan individu-individu yang bagus,terkenal, ikon sebagai pelengkap testimoni anda.
Jadi, apa silapnya?
Testimoni itu tidak silap, tetapi silapnya anda kerana kebanyakan adalah testimoni rekaan semata-mata dan anda cipta untuk meyakinkan mangsa. Lagi anda keluarkan pujianyang melambung-lambung, lagi tinggi kebarangkalian barangan anda akan disiasat.
Produk Saya Ada Sijil, Ujian Makmal, Tetapi Kenapa Masih Dirampas?
Anda kini telah kaya-raya. jadi wang bukan menjadi masalah.
Banyak makmal-makmal swasta boleh melakukan ujian makmal, dan anda hanya perlu bayar sejumlah wang bagi mendapatkan hasil ujikaji itu.
Jadi, sijil dan ujian itu lah yang menjadi ibu kepada kepercayaan mangsa untuk terus membeli produk anda. Malah sijil itu jugalah yang dijaja oleh ahli-ahli untuk melariskna jualan. dan apabila serbuan dilakukan, senanglah untuk anda dan ahli anda berkata, bahawa kerajaan atau pihak berkuasa mensabotaj perniagaan anda, hasad dengki dan paling popular ‘hendak menjatuhkan orang Melayu’ yang baru nak mula berniaga…
Malangnya, Anda Membeli Telur Di Kedai Basikal
Ye, gunakanlah sijil dan keputusan ujian makmal itu untuk perniagaan anda. Tiada siapa melarang.
Anda boleh cetak beribu-ribu salinan sijil dan ujian makmal itu dan hebahkan kepada satu dunia, produk anda ada protin, ada kabohidrat, ada zat itu ada zat ini, malah hasil ujian mendapati, tiada mengandungi kolestrol, tiada viagra, tiada pewarna tidak dibenarkan.
Mudah , amat mudah…
Tetapi, malangnya, anda tipu pelanggan anda. Adakah anda melakukan ujian untuuk mengesan sildenafil, sibutramine, dan bahan-bahan analog yang biasanya gagal dikesan oleh makmal swasta? Harga peralatan ini yang mampu mengesan bahan-bahan analog menggunakan teknologi tinggi itu, menjangkau jutaan ringgit. Ini menyebabkan makmal swasta tidak mampu mengesannya kerana mereka tiada kemudahan semahal dan secanggih itu.
Proses ujian makmal bolehlah diibaratkan begini, kepada anda yang tidak memahaminya:
Saya menggunakan bahasa paling mudah supaya anda betul-betul faham.
Jika anda hendak menguji bahan anda samada mengandungi dexamethasone (sejenis steroid), ujikaji perlu dilakukan untuk method mendapatkan keputusannya.
Sudah sahlah sijil anda mengatakan bahan anda tiada dexamethasone kerana mungkin makmal anda lakukan ujian itu melakukan ujian untuk prednisone, atau naproxen atau flumethasone.
Jadi, betullah sijil anda itu mengatakan ianya tidak mengandungi dexamethasone…
Ujian makmal merupakan satu proses yang amat kompleks dan ilmu yang tinggi dengan peralatan yang serba canggih.
Masih tak faham?
Ok, ibaratkan anda hendak membeli telur, tetapi anda cuba membelinya di kedai basikal. Sudah tentu anda tidak akan menjumpai telur di kedai basikal (melainkan ’telur’ pekedai basikal itu…).
Begitulah method asas untuk melakukan ujikaji makmal ini.
(Saya akan siarkan artikel eksklusif ujian di dalam makmal sedikit masa lagi untuk tatapan dan pengetahun anda)
Sorok, Jangan Tunjuk banyak-banyak
Ada antara anda memang mengetahui produk anda mengandungi bahan terkawal , tetapi kerana wang, anda butakan mata dan hati anda untuk mengaut keuntungan.
Ada pula, langsung tidak tahu menahu, tetapi kerana wang juga, anda menjadi pak sanggup untuk memasarkan produk itu.
Jadi, apa yang berlaku ialah, kerana bimbang dirampas kesemua produk anda, anda perlu sorok stok yang ada. Jangan letak di satu premis. Pada kotak pula, jangan letakkan alamat, atau cetaklah alamat palsu. Jangan bagitau produk itu adalah diimport dari negara luar.
Hanya cetak anda sebagai pengedar, atau kalau berani, cetaklah di kotak atau pada botol, anda sebagai pengilang. Kalau penguatkuasa datang, tentu mereka tak syak, bahawa kilang itu sebenarnya rumah anda sendiri, jadi takkan mereka nak gelidah sampai bilik tidor anda mencari produk anda itu.
Untuk lebih mencabar, disyorkan anda letakkan alamat kilang kicap ke atau alamat kedai tayar ke pada kotak anda itu
(Memang pernah berlaku…)
Mudah bukan?…
Akhirnya, anda kantoi juga
Siapa sangka , akhirnya rumah anda yang dah jadi macam rumah kongsi itu, diserbu juga.
Sebenarnya, bukan senang untuk mengesan anda, kerana anda pandai menipu. Anda tidak letak alamat kotak atau botol ubat itu.
Maka, berbulan-bulanlah lamanya pihak berkuasa cuba mengesan kedudukan kilang anda. Mereka juga terpaksa mencari, di mana sebenarnya anda sorok stok yang banyak itu kerana biasanya, pada pejabat anda, hanya ada beberapa kotak sahaja, tak berbaloi rampasan itu nanti.
Terpaksalah penyamaran dilakukan, di mana unit risikan akan menjadi pemotong rumput, jadi pemandu lori, jadi pelanggan, jadi pengutip kotak-kotak yang anda buang itu.
Terpaksalah juga unit risikan bersengkang mata menunggu kalau-kalau ada lori yang turunkan/naikkan barang dekat rumah/kilang anda kemudian mengekorinya.
Gunakan selebriti. ikon terkenal, malah jika dapat, kerabat Diraja
Dengan wang, anda boleh dapatkan selebriti yang sanggup menerima bayaran yang bukan sedikit semata-mata untuk ditampalkan gambar mereka pada produk anda.
Maka jualan anda akan melonjak naik dengan amat mendadak.
Buat road-show, gimik yang gila-gila, sudah pasti ramai teruja.
Untuk ‘menakutkan’ pihak berkuasa, letakkan CEO atau pengarah atau penasihat anda seseorang yang amat terkenal, tersohor. Sudah pasti jika tidak kuat iman, penguatkuasa terpaksa berfikit 4 juta kali samada hendak serbu atau tidak.
Lebih hebat, ada yang melantik kerabat di Raja sebagai Penaung atau Penasihat syarikat anda.
Malangnya…
Ye, malangnya, ikon-ikon atau selebriti itu sendiripun sebenarnya tidak tahupun apa kandungan produk yang muka mereka ditampal pada botol itu.
Malah VVIP yang menajdi Penaung anda itu juga, akhirnya menyaman anda kerana menipu mereka selama ini. Gertakan anda pada pihak berkuasa, akhirnya memakan diri anda sendiri.
Sebarkan bahawa anda dianiaya
Betul, bagi ejen atau penjual produk anda, anda dianiaya. Pihak berkuasa jahat, ada agenda, dan media juga berhati busuk.
Ejen-ejen jualan anda amat simpati pada anda, dan secara langsung, ejen-ejen anda juga menjadi mangsa kerana dengan rampasan itu, maka tertutuplah pintu ‘rezki’ mereka sebagai ejen penipu bagi pihak anda.
Ye, sebarkan satu dunia, anda sebenarnya ada sijil, ada ujian makmal yang tepat dan betul.
Mana mungkin produk anda ada bahan terlarang. Mustahil . Semua ini ada agenda. Semua ini ada konspirasi untuk menjatuhkan anda kerana ada pihak yang dengki pada anda.
Sebenarnya anda harus bersyukur
Sesungguhnya, kekayaan sekejap yang anda nikmati itu, Allah telah tarik balik dengan sekelip mata sahaja.
Anda harus bersyukur kerana hanya produk anda yang dirampas, dan bukan rumah anda, kereta-kereta mewah anda.
Bagaimanapun, jika semua agensi melakukan serbuan serentak di kilang anda, sudah pasti anda akan terduduk terus dan tak akan bangun-bangun lagi.
Penguatkuasa Farmasi akan menjalankan tugas mengikut bidang kuasa mereka sahaja. Tetapi, jika bersama mereka yang turut serta agensi lain seperti Kementerian Perdagangan Dalam negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, anda mungkin didakwa kesalahan menjalankan MLM atau Jualan langsung tanpa lesen, semua peralatan dirampas termasuk segala jenis timbang, buku-buku produk, malah peralatan yang bermacam-macam itu.
Itu belum lagi jika ada laporan oleh pengguna bahawa anda melakukan penipuan, maka anda akan ditangkap pula, seperti penipuan dalam kandungan ubat anda yang sebenarnya hanyalah gula atau tepung gomak.
Itu belum lagi kesalahan anda pada pihak berkuasa tempatan, kerana menjadikan rumah anda sebagai kilang.
Belum lagi dilihat dari aspek kebersihan, pekerja yang tidak memakai sarung tangan ketika memasukkan ubat, aspek keselamatan seperti alat pemadam api, atau laluan-laluan kecemasan.
Belum lagi penipuan anda kepada pengguna yang mendakwa anda pakar, atau dakwaan bahawa ubat anda adalah ciptaan atau formula ajaib yang sebenarnya anda beli dari pasar malam.
Belum lagi tahap panas menggelegak ahli-ahli anda yang melihat kereta-kereta mewah anda yang berderet-deret dan juga rumah banglo anda hasil susah payah ejen-ejen bengap ini.
Belum lagi kesalahan anda yang letakkan logo-logo palsu, nombor-nombor pendaftaran palsu milik barang lain pada kotak yang lain.
Belum lagi kesalahan menggunakan anak saudara anda yang baru berusia 10-15 tahun untuk membungkus produk palsu anda dan belum lagi diperiksa samada anda anda membayar KWSP atau tidak pada pekerja.
Anda juga seharusnya berterimakasih kepada media kerana masih ada perasaan simpati pada anda. Walaupun anda cop mereka sebegai jahat kerana menyiarkan berita itu, tetapi masih ada media yang kelabukan foto produk anda, atau tidak siarkan alamat dan nama anda.
Kenapa? Kerana, mungkin dari 10 produk anda, hanya 1 yang ada bahan dilarang, jadi media ada simpati kerana tidak mahu menjejaskan 9 lagi produk anda.
Tetapi jika semua produk anda didapati melakukan kesalahan apatah lagi penipuan, mungkin terpaksa didedahkan juga mengenai produk-produk itu dan siapa pemiliknya.
Kesimpulannya
Jangan menipu untuk menjadi kaya cepat
Janganlah peralatkan orang lain termasuk ahli keluarga anda untuk kaya
Jangan buat jika anda sebenarnya tidak tahu apa yang anda buat
Jangan jahanamkan orang lain dengan menjual produk yang anda dakwa amat sakti dan ajaib itu
Jangan perdayakan orangramai dengan kehebatan anda dan produk tepung gomak anda itu
Jangan anggap, anda adalah kebal sehingga anda tidak akan dikenakan tindakan
Jangan tamak kerana orang tamak selalu rugi…
Jadi, fikirkanlah sebaik-baiknya sebelum anda meneruskan hajat ini kerana anda takkan ke mana jika cupa memperdayakan orangramai.
Semoga artikel ringkas saya ini menjadi panduan kepada kita semua supaya kita sentiasa berhati-hati dalam menghadapi situasi sebegini dan sebarang maklumat, sila salurkan ke email saya.
Salam ondscene.
Kuala Lumpur
Post Lain Yang Berkaitan
14 Comments
You must be logged in to post a comment.



salam
satu artikel yg cukup bagus, berinformasi dalam nada sinis. Memang betul apa yg saudara tulis tu satu persatu langkah penipuan kearah mengaut kekayaan diatas kealpaan pengguna sendiri!
Tulisan sarkastik yang ese tabik!
Ini macamlah bro. Ese dulu singkap pasal dr palsu yang beli PhD internet dan ramai tembak ese. Melayu tak gunalah. Nak jatuhkan orang melayulah. Dengkilah. Sangap!!
Ese suruh dr dr palsu ni dan konco konconya saman gua tapi sampai arini, haus! Sorang pun tak buat. Pasal apa? Bukan hati mereka mulia tetapi kerana di dalam mahkamah mereka perlu membuktikan dakwaan dan mereka tahu mereka pasti gagal. Pasal apa lak? pasal dia pun tahu dia menipu!ha ha ha
Jadi, bro jangan risau cakap cakap pengikut fanatik depa tu kerana macam bro gak, motif kita adalah memelihara maruah bangsa supaya tidak diperkotak katik dan sewenangnya diperbodoh.
Kalau tak monang tangan lawan sorang sorang, meh ese tolong baehkan samo samo warikh!
post yang menarik .tq
Hemm ngape pasal ubat ni byk sgt entrynyer??Ramai yg tanya ke KB.
Salam from:BK@klfm
wahh…info artikel yang bgus..jarang jumpa info sebegini..gaya bahasa yang keras lagi sinis bg mereka yang terkena batang hidung membuat perkara2 tersebut pasti teramat geram…heheh
Saya sokong artikel sebegini..teruskan usaha..
JIKA TIADA WARTAWAN SEPERTI ANDA YANG MENDEDAHKAN INFO SEBEGINI, SUDAH PASTI SAMPAI BILA2 ORANG AWAM TIDAK MENGETAHUI NYA..
TERUSKAN USAHA..
inilah yang dikatakan 'mental diversion'.
sib baik aku x suka makan obat.. hahaha
Bro.. kes terbaru bro.. tgk 999 tv3 pun hampeh la.. isu indon, pulau batam.. apekejadah mazidol mlanggan placur pun mau show.. lari tajuk loh.. mcm 360..
mana pegi isu jenayah malaysia ni.. dgr cite 2 surau pun ada kena bakar..
Love this post!!! Teruskan posting2 mcm nie..
Tahniah bro…teruskan lagi mendedahkan episod puak puak yg menipu dan sekaligus membunuh secara perlahan perlahan orang ramai.
Aku pun heran dengan org Malaysia ni sikit sikit percaya kat ubat itu ini yg entah ye entah tidak. Tu pasal ada yg jadi biol kot.
Kesimpulannya siapa yg menipu ni makan duit haram dan kalau duit haram sendiri mau tahu la balasan dunia dan akhirat. Kalau sendiri saja takpa la ni ajak org lain untuk bunuh org lain. Bertambah tambah dosa tu.
MesinJahitSinger
ha ha ha!
ntah knp ade bbrp supplements yg bermain di kepala otak ni. kalo tak mayfirst, permata hijrah! heheheheh
metro rini
Hampir separuh iklan kosmetik menipu
LONDON: Penipuan sesetengah iklan kecantikan – mencecah sehingga satu pertiga daripada jumlah disiarkan di media massa – menyebabkan kadar kemurungan gadis di Britain meningkat, lapor akhbar tempatan, semalam.
Siasatan akhbar The Sun mendapati, model yang digunakan dalam sesebuah iklan bergaya dengan memakai bulu mata atau rambut palsu untuk kelihatan lebih menarik.
The Sun mendakwa, teknologi komputer turut digunakan bagi menghasilkan wajah benar-benar ayu model walaupun pada realitinya, ia mustahil dilakukan.
“Penipuan itu menyebabkan jumlah gadis dirawat akibat kemurungan meningkat disebabkan mereka gagal mencapai tahap kecantikan diimpikan,” kata akhbar itu.
The Sun mendapati, 28 peratus iklan kosmetik dalam majalah membuat pengakuan – secara terlindung – bahawa gambar mereka diubah suai.
Sebanyak 44 peratus lagi turut melalui proses pengubahsuaian tanpa diakui.
Hanya 28 peratus iklan kosmetik dipercayai memaparkan kualiti produk sebenar.
Iklan maskara didapati paling serius mengelirukan pengguna dengan 58 peratus mengaku mengubah suai bulu mata model untuk kelihatan lebih panjang dan 42 peratus memaparkan bulu mata tiruan.
Juri X Factor , Cheryl Cole (gambar), pula dikritik akhbar terbabit kerana menggunakan rambut palsu ketika muncul dalam iklan syampu L'Oreal Elvive. – Agensi
saya juga pengeluar produk..tetapi tidak seperti yang di dakwa..mgkin ada tapi tidak semua
sila hubungi saya jika ada sebarang pertayaan di email [email protected]..
teruskan usaha anda…semoga usaha anda boleh membendung masalah ubat-ubat tiruan dan produk di campur palsu di Malaysia