Salam untuk pembaca ondscene semua
Saya rasa, masih belum terlambat untuk saya menyampaikan pesanan ini secara peribadi kepada anda semua yang sejak beberapa hari lalu, telah memulakan perjalanan jauh untuk pulang ke kampung halaman.
Hari ini dan esok dijangka jalan-jalan persekutuan dan lebuhraya akan dipenuhi kenderaan – dengan ayat keramat -” Balik Kampung”.
Saya tidak mahu merungkai panjang lebar, tetapi sekadar sama-sama memberikan peringatan kepada kita semua semasa di jalanraya.
Blog ondscene yang saya wujudkan ini lebih mengkhususkan kepada kemalangan jalanraya dan saya amat-amat berharap, apa jua yang dipaparkan boleh kita jadikan pedoman dan panduan .
Berhemahlah di jalanraya tidak mengira siapakah kita dan apakah jenis kenderaan yang kita pandu/naiki.
Secara ringkas, pastikan perkara asas ini yang mungkin ada yang terlepas pandang, dengan saya mengandaikan anda telah melakukan ‘servicing’ pada enjin kenderaan anda:
1 . Sediakan alat mengepam tayar ‘portable’ menggunakan palam pencucuh rokok sebagai punca kuasa. Ia mampu menyelesaikan banyak masalah yang timbul jika berlaku pada tayar kenderaan anda.
Jika tidak tayar kenderaan anda bocor atau kekurangan angin, anda mungkin boleh membantu sahabat lain yang mengalami masalah tayar.
Tayar gantian @ ‘spare’ hendaklah dipastikan ada di tempatnya dan mempunyai angin mencukupi.
Harganya tidak mahal – antara RM30 hingga RM100 bergantung kepada model.
2. Sediakan 1 set kabel ’jump-start’ – jika tiba-tiba bateri kenderaan anda bermasalah. Ia juga dapat membantu rakan lain yang mengalami masalah bateri.
Harganya juga tidak mahal – antara RM20 – RM50 1 set
3. Kit menampal tayar bocor khususnya untuk motosikal. Ia juga boleh digunakan untuk tayar kereta .
Harganya antara RM10 – RM20 satu set
4. Beberapa botol air paip, persediaan jika tiba-tiba radiator kenderaan anda kekeringan air dalam perjalanan.
5. Air bateri – juga berguna kerana perjalanan yang jauh dan juga penggunaan alat penghawa dingin mampu ‘mengeringkan’ air bateri anda kepada yang tidak menggunakan bateri ‘maintenance-free’ .
Harga antara RM2 – RM 3 sebotol.
6. Pengecas telefon bimbit menggunakan kuasa palam pencucuh rokok. Jangan biarkan anda terputus hubungan dalam perjalanan apabila bateri telefon bimbit kehabisan dan saat itu anda amat perlu membuat pangilan kecemasan. Dan, jangan lupa membawa bersama kit bebas tangan.
Harga antara RM 5 – RM 15
7. Sebagai pilihan , anda boleh membeli ‘baton-light’ sebagai tambahan kepada segitiga kecemasan jika berlaku sesuatu tidak diingini terutama di waktu malam dan juga laluan merbahaya.
8. Bawa sekali kunci pendua kenderaan anda dan pastikan ia dipegang oleh individu lain di dalam kereta anda. Jika berlaku kehilangan kunci asal, anda tidak perlu pulang ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan kunci pendua ketika anda sedang beraya di Kuala Perlis.
9. Payung / baju hujan – perlu jika sesuatu tidak diingini berlaku ketika waktu hujan. Pastikan juga ianya mempunyai jalur pantulan cahaya.
10. Sekurang-kurang 2 botol kosong 1.5 liter sebagai persediaan jika ditakdirkan minyak kenderaan anda habis dalam perjalanan dan berlaku bukan di stesyen minyak. Sediakan juga corong menuang minyak – ia boleh dibuat juga dengan memotong separuh botol air mineral untuk dijadikan corong.
Untuk menuang minyak ke tangki, bagi kenderaan Proton contohnya, apabila anda membuka penutup tangki, akan ada satu lagi penutup kecil berspring untuk membuka laluan kepada hos minyak. Buka penutup kecil itu dengan ‘menjolokkan’ gunting ke dalamnya, maka lubang akan terbuka.
11. Tidak perlulah untuk berlagak dengan memasang @ ‘on’ kan GPS sepanjang masa seolah-olah anda sahaja yang tidak tahu arah tuju, melainkan jika amat-amat perlu. Ia boleh menganggu konsentrasi anda memandu terutama jika anda memandu berseorangan.
12. Pastikan lesen memandu dan cukai jalan anda masih belum tamat tempoh. Anda ada masa sehingga esok untuk membaharuinya.
13. Jangan tinggalkan ‘jack’ kereta anda di rumah dengan alasan ianya berat atau memenuhi ruang. Percayalah, ia akan diperlukan juga nanti.
Pastikan anda membawa sekali pembuka nut tayar dan juga saiznya adalah sama dengan nut tayar anda termasuk nut ‘safety’ jika anda menggunakannya.
14. PENTING - Jika anda mempunyai masalah dengan suami/isteri atau pasangan anda atau sesiapa di dalam kenderaan, saya nasihatkan jangan bergaduh. Pergaduhan di dalam kenderaan mampu memgakibatkan anda terlibat kemalangan.
Jika bergaduh itu terlalu penting dan perlu disegerakan, berhentilah di mana-mana kawasan Rehat dan Rawat atau Hentian Lebuhraya. Minumlah dahulu barang secawan dua air bersama-sama …
Semoga pesanan ringkas saya ini boleh memberi menafaat kepada kita semua.
Dan semoga perjalanan anda pergi dan balik dalam menyambut Aidilfitri kelak, akan sentiasa dilindungiNya.
Tentu sukar untuk sesiapapun dari kita menerimanya jika ini penghujungnya…














Assalam, Terima kasih di atas info dan ingatan ini. Sediakanlah payung sebelum hujan. Semoga kita semua selamat dalam perjalanan pergi dan balik, insyaAllah.
terima kasih dengan info yang diberi….
[...] PINGBACK NEGARAKU.MY: Pesanan Buat Pemandu – Sempena Cuti Aidilfitri | ondscene.my. [...]
terima kasih atas info dan pesanan ini… hati2 di jalan raya ok
terima kasih abg sham atas info yg amat bagus nih..
selamat hari raya jugak pada semua
Assalamualaikum,
Terima kasih dengan semua info ini dan saya akui, ada beberapa perkara itu dah terlepas pandang dek teruja nak balik kampung. InsyaAllah, akan lebih hati2 dan ambil berat pada masa akan datang.
Selamat hari raya Aidilfitri, maaf zahir batin.